TH sangkal dakwaan kartel PJH

KUALA LUMPUR 12 Julai – Mana-mana syarikat boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) dan dipilih apabila memenuhi syarat ditetapkan.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata sistem ini diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala, malah ia diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini.

Justeru , beliau menyangkal dakwaan terdapat ‘kartel’ dalam pemilihan syarikat pelancongan sebagai PJH di bawah agensi itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata dakwaan itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas, sebaliknya syarikat boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen di bawah TH dan hanya akan dipilih apabila memenuhi syarat ditetapkan.

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menggesa supaya amalan ‘Kartel TH’ dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi PJH dapat dihapuskan.

Presidennya, Razali Mohd Sham, menyarankan setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan PJH diulang ganti setiap dua tahun sekali.

Syed Saleh berkata, syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji terbaik termasuk mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji tanah air.

Beliau berkata, TH yang membuka permohonan lesen PJH setiap tahun sudah memilih dua syarikat baharu tahun ini iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd serta Mimm Travel & Tours Sdn Bhd.

Tahun ini, sebanyak 22 syarikat pelancongan tempatan terpilih dan melalui proses saringan serta pemilihan teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi musim haji 1443H/2022M.

Beliau juga menjelaskan bagi memohon lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi 10 syarat ditetapkan.

Antaranya, berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, mempunyai rekod Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan pengarah syarikat, pemegang saham dan mana-mana individu dalam pengurusan syarikat.

PJH dilantik juga mesti memiliki pengurusan dan kakitangan berpengalaman, termasuk laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini.

Syarat lain adalah memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000 dan lulus penilaian umrah oleh pejabat TH di Arab Saudi.

TH turut menyarankan orang ramai terutama bakal haji menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan PJH yang dilesenkan TH saja dan boleh merujuk kepada senarai PJH di laman web TH di www.tabunghaji.gov.my.

Related posts

Leave a Comment