MELAKA 13 Nov. – Perjanjian politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) boleh terbatal sekiranya syarat serta garis merah yang dipersetujui tidak lagi dihormati, seterusnya membuka ruang untuk mandat dikembalikan kepada rakyat.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian itu menggariskan beberapa parameter penting yang perlu dipatuhi semua pihak.
Perjanjian berkenaan menjadi asas kepada pembentukan kerajaan yang diwujudkan bersama atas titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya nak memperingatkan kepada pimpinan DAP kembali kepada perjanjian. Kita ada dua perjanjian penting, pertama perjanjian BN dan PH. Yang kedua perjanjian pembentukan kerajaan Perpaduan Malaysia.
Dalam perjanjian itu, kita menggariskan syarat-syarat yang jelas bahawa kerajaan ini kita wujudkan bersama atas titah Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa parameter, garis panduan termasuk mesti sentiasa taat dan setia, jangan sesekali mempersenda institusi raja-raja Melayu Yang di-Pertuan Agong, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas ceramah Pentas Grand Finale BN dan Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16, di sini, malam tadi.
Hadir sama Presiden Pas Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir.
Menurut Asyraf , sekiranya pihak terbabit tidak lagi mampu berpegang kepada syarat berkenaan, perjanjian itu dengan sendirinya akan terbatal.
Mandat sewajarnya dikembalikan kepada rakyat bagi mengelakkan polemik politik berterusan yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan dan keyakinan pelabur.
“Kalau mereka (DAP) sudah mula merasakan bahawa mereka tak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal.
“Bila yang terbatal maka secara ‘gentleman’ kita serahkan balik mandat itu kepada rakyat, jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil, pandangan pelabur pun tidak akan baik kepada rakyat dan kita pun sudah akan sampai ke iddah pilihan raya pun,” katanya.
Beliau juga menegaskan, penyatuan orang Melayu tidak bermaksud kaum lain akan diketepikan kerana Malaysia dibina atas asas kemajmukan masyarakat.
Tegasnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat majoriti itu penting bagi memastikan kestabilan politik dan keharmonian semua kaum terus terpelihara.
“Jadi tidak timbul langsung soal kalau misalnya orang UMNO dengan Pas, BN, PN bersatu maka kaum-kaum lain dikesampingkan. Tidak akan mungkin berlaku begitu kerana asas negara ini adalah asas kemajmukan.
“Malaysia ini terdiri atas asas bahawa tanah air ini milik semua, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, Dusun, Sabah, Sarawak. Jadi tidak timbul soal kalau berpadunya bangsa teras, maka bangsa-bangsa lain akan tertindas. Itu tidak akan mungkin berlaku,” katanya.
Nnnn
