Azmin bertemu bos lama menjelang Zuhur

KUALA LUMPUR 15 April – “Lama kami tidak bertemu. Kami dipertemukan hari ini di dalam Masjid Negara di bulan Syawal. Moga Allah SWT memberkati kita semua,” demikian catatan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali.

Bekas Menteri Besar Selangor itu merujuk pertemuan dengan bekas bos lamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.

Melalui Facebooknya, Mohamed Azmin memberitahu, beliau bersama Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Mohd Yassin, berada di Masjid Negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada negarawan Abdullah Ahmad Badawi.

“Kami tiba jam 12.15 tengah hari dengan didampingi beberapa pimpinan kanan Bersatu termasuk YB Datuk Dr. Radzi Jidin dan Dato’ Ahmad Faizal Azumu serta beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor.

Menjelang solat Zohor, saya menyambut salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lama kami tidak bertemu.

“Kami dipertemukan hari ini di dalam Masjid Negara pada bulan Syawal. Moga ALLAH SWT memberkati kita semua,” katanya.

Mohamed Azmin merupakan orang kanan Anwar dan antara pengasas serta penggerak utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak zaman Reformasi pada 1998 hingga tahun 2020.

Bagaimanapun, beliau kemudian mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden sebelum bertindak keluar parti bersama sembilan Ahli Parlimen PKR lain termasuk Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 10 Januari 2020.

Sementara itu, Azmin menyifatkan, Allahyarham Abdullah adalah seorang insan yang berintegriti, sederhana dan tenang.

“Beliau adalah seorang negarawan yang cukup dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Jasa dan bakti Tun Abdullah amat besar kepada pembangunan umat dan negara yang berteraskan nilai yang luhur dan prinsip yang utuh. Malaysia kehilangan permata dan seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Marilah kita mendoakan semoga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh dengan ni’mat Allah SWT.,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment