Gabungan BN, PN diramal mendahului

SEPANG 13 Nov.  – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diramalkan mendahului persaingan di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka 2026.

ILHAM Centre menerusi siaran media hari ini menyatakan hasil kajian lapangan mendapati ‘gelombang biru’ hasil kesepakatan strategik kedua-dua blok politik Melayu berkenaan sedang mendominasi landskap pilihan raya negeri terbabit.

Berdasarkan unjuran firma penyelidikan bebas itu PH dilihat berada dalam kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya, iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir sementara dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang PH, iaitu Ayer Keroh dan Kesidang, dikategorikan berada dalam persaingan sengit.

Panel penyelidikan ILHAM Centre merumuskan dominasi BN-PN dipacu tiga faktor utama, iaitu konsolidasi undi Melayu, moral jentera tinggi serta penerimaan positif rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.

Kajian terbabit turut mendapati perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlaku pada kadar tinggi apabila 91 peratus pengundi PN didapati berpindah kepada BN, manakala 78 peratus pengundi BN beralih menyokong PN.

Situasi ini menjadikan 23 kerusi DUN dengan komposisi pengundi Melayu sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai jajaran sukar ditembusi PH.

Selain itu, faktor kelebihan penyandang turut memberi nilai tambah apabila program kerajaan negeri seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat mendapat sambutan baik.

Kajian berkenaan juga merekodkan tahap penerimaan (approval rating) terhadap Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh berada pada paras 86 peratus, manakala kerajaan negeri pula meraih 85 peratus.

Mengenai cabaran dihadapi pihak lawan, ILHAM Centre menyatakan PH masih berjaya mempertahankan undi terasnya khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar.

Bagaimanapun, gabungan itu berdepan kesukaran memperluas sokongan ke segmen baharu dan luar bandar berikutan ketiadaan naratif induk kuat untuk mencetuskan gelombang perubahan.

Pada masa sama, Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Madani dan Bersatu juga didapati gagal diterjemahkan kepada penyatuan sokongan di peringkat akar umbi kerana sifat kerjasama berlangsung secara tertutup sehingga mengelirukan pengundi atas pagar (fence sitter).

Bagi segmen anak muda, kajian mendapati 21 peratus pengundi di bawah usia 30 tahun masih belum membuat keputusan muktamad ketika kajian dijalankan dan cenderung membuat pilihan pada saat-saat akhir.

Kajian lapangan terbabit dilaksanakan bermula 1 hingga 12 November 2026 merangkumi kesemua 28 DUN di Melaka.

Pengumpulan data dilakukan secara triangulasi membabitkan soal selidik tatap muka terhadap 805 responden kuantitatif, lima perbincangan kumpulan berfokus (FGD) dengan 40 informan serta temu bual mendalam (IDI) membabitkan 22 informan.

Nnnn

 


MELAKA DIBADAI GELOMBANG BIRU, KERJASAMA BN-PN KIAN MENGUKUH

Pola Pengundian Pilihan Raya Negeri Melaka 2026

Pendahuluan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 memperlihatkan pengukuhan dominasi Barisan Nasional (BN) menerusi kerjasama strategik dengan Perikatan Nasional (PN), sekali gus membentuk gelombang politik yang sukar dicabar oleh Pakatan Harapan (PH). Kesepakatan dua blok politik Melayu ini bukan sahaja memperkukuh penguasaan di kawasan majoriti Melayu, malah mengubah landskap persaingan yang semakin memihak kepada gabungan BN–PN.

Penilaian ini bersandarkan dapatan kajian lapangan ILHAM Centre serta pemerhatian langsung terhadap perkembangan kempen dan dinamika politik setempat. Analisis memberikan tumpuan kepada penerimaan pengundi, keberkesanan naratif kempen, kekuatan jentera, perpindahan undi serta kecenderungan politik merentas segmen pengundi di Melaka.

Kesepakatan BN–PN Mengukuhkan Dominasi Politik Melayu

Kerjasama BN–PN di Melaka menyaksikan kegagalan model Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri apabila kesepakatan politik nasional antara BN dan PH tidak diterjemahkan dalam persaingan pilihan raya. Sebaliknya, BN memilih pendekatan yang lebih menguntungkan kedudukan politiknya melalui persefahaman dengan PN, khususnya PAS yang mempunyai pengaruh dalam segmen pengundi Melayu.

Kesediaan PN berkompromi dengan BN ternyata membuahkan hasil apabila persaingan sesama parti Melayu dapat dikurangkan dan sokongan pengundi disatukan dalam satu jajaran politik. Kesepakatan ini memperlihatkan keberkesanan penyelarasan strategi yang membolehkan kedua-dua gabungan memanfaatkan kekuatan masing-masing tanpa perlu berdepan pertembungan yang merugikan.

Dapatan lapangan menunjukkan perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlaku dengan sangat baik, sekali gus memperkukuh konsolidasi undi Melayu. Dapatan kami menunjukkan perpindahan undi pengundi PN kepada BN sebanyak 91 peratus manakala pengundi BN kepada PN sebanyak 78 peratus. Keadaan ini menjadikan 23 kerusi DUN dengan komposisi pengundi Melayu sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai jajaran yang semakin sukar ditembusi oleh PH.

Kekuatan gabungan ini turut disokong oleh penguasaan jentera UMNO dan PAS yang mempunyai jaringan akar umbi tersusun sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM). Penggemblengan dua jentera tradisi yang berpengalaman memberikan kelebihan besar kepada BN–PN berbanding parti yang tidak memiliki struktur organisasi dan jaringan pengundi setempat yang setanding.

Secara keseluruhannya, kerjasama BN–PN bukan sekadar persefahaman politik antara kepimpinan parti, sebaliknya telah diterjemahkan kepada penyatuan kekuatan organisasi dan keyakinan pengundi di lapangan. Perkembangan ini menjadikan gelombang biru semakin kukuh dan meletakkan PH dalam kedudukan defensif di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Moral Jentera BN Tinggi, PH Kehilangan Naratif Induk

BN memasuki gelanggang PRN Melaka dengan moral jentera yang tinggi, didorong oleh keyakinan selepas kejayaan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan. Momentum kemenangan tersebut membentuk psikologi bahawa BN berada pada kedudukan dominan dan mempunyai keupayaan besar untuk mempertahankan penguasaannya di Melaka.

Penyusunan strategi BN Melaka berjaya membentuk persepsi bahawa gabungan tersebut terlalu gagah untuk dikalahkan, sekali gus memberikan kelebihan psikologi kepada jentera dan penyokongnya. Persepsi kemenangan ini turut mempengaruhi suasana persaingan apabila kempen BN dilihat lebih tersusun, agresif dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Naratif BN-PN bersendikan politik identiti yang mudah difahami kepada psiki Melayu dengan tagline Asal Bukan PH begitu kuat dan rentas seluruh DUN.

Pemerhatian di lapangan juga mendapati kebanyakan PDM yang ditandingi BN menunjukkan kemeriahan aktiviti jentera dan penyertaan penduduk setempat. Sebaliknya, PH dan parti pesaing lain kelihatan bermula lebih lewat dengan sebahagian besar usaha kempen masih tertumpu kepada memperkenalkan calon berbanding mengukuhkan strategi meraih sokongan pengundi.

Kekuatan tradisi PH sebenarnya terletak pada keupayaan menggerakkan isu rasuah, kesenjangan ekonomi dan skandal tadbir urus sebagai modal politik untuk mencabar kerajaan. Namun, isu-isu tersebut gagal disatukan menjadi naratif induk yang dominan, meyakinkan dan mampu membangkitkan gelombang penolakan terhadap BN.

Ketiadaan naratif induk menyebabkan kempen PH bergerak secara terpisah mengikut calon dan kawasan tanpa mesej politik yang benar-benar mencengkam imaginasi pengundi. Dalam keadaan BN menguasai momentum dan persepsi kemenangan, PH gagal membina alasan politik yang cukup kuat untuk mendorong pengundi melakukan perubahan.

Program Kerajaan Negeri Diiktiraf dan Menambat Hati Rakyat Melaka

Dua program utama kerajaan negeri, iaitu Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, muncul sebagai wadah penting dalam memperkukuh penerimaan pengundi terhadap pentadbiran BN. Kedua-dua inisiatif ini berjaya menonjolkan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri sentiasa hadir dalam kehidupan masyarakat.

Pelaksanaan program berkenaan membolehkan kerajaan negeri membina hubungan langsung dengan pengundi melalui penyampaian bantuan, penyelesaian masalah setempat dan interaksi berterusan bersama masyarakat. Pengundi akhirnya tidak hanya menilai kerajaan berdasarkan janji pilihan raya, tetapi turut mengambil kira pengalaman mereka berurusan dengan wakil rakyat dan pentadbiran negeri.

Dalam konteks PRN Melaka, pendekatan yang menyentuh keperluan harian rakyat mempunyai nilai politik lebih besar berbanding perdebatan mengenai isu nasional yang jauh daripada kehidupan setempat. Pengundi lebih mudah mengaitkan manfaat yang diterima dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuh persepsi terhadap keberkesanan pentadbiran BN.

Keberhasilan kedua-dua program ini turut memperlihatkan kelebihan penyandang yang dimanfaatkan secara optimum oleh BN sepanjang tempoh pentadbirannya. Hubungan antara kerajaan negeri, wakil rakyat, jentera parti dan masyarakat telah membentuk jaringan penerimaan yang sukar ditembusi oleh parti lawan dalam tempoh kempen yang singkat.

Hasilnya, dapatan kajian menunjukkan approval rating kepada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berada pada aras cemerlang 86 peratus dan kerajaan negeri pada aras 85 peratus.

Keadaan ini menjadikan rekod perkhidmatan dan kehadiran kerajaan negeri sebagai modal politik yang lebih berkesan berbanding tawaran perubahan yang dibawa oleh pembangkang. PH berdepan kesukaran mencabar persepsi positif tersebut apabila pengundi lebih cenderung mempertahankan manfaat yang telah mereka nikmati berbanding mengambil risiko terhadap tawaran baharu.

BN Terlalu Gagah di Jajaran Majoriti Melayu

Dominasi BN paling ketara di jajaran kerusi majoriti Melayu apabila kekuatan penyandang, penguasaan jentera dan kerjasama dengan PN membentuk kelebihan yang sukar digugat. Kedudukan ini menunjukkan bahawa persaingan di kawasan Melayu tidak lagi berlangsung dalam keadaan seimbang, sebaliknya semakin memihak kepada BN–PN.

Di kawasan luar bandar dan separa bandar, pengaruh politik masih banyak ditentukan oleh hubungan kekeluargaan, jaringan komuniti dan kehadiran berterusan pemimpin setempat. UMNO dan PAS memiliki kelebihan struktur dalam ekosistem ini kerana kedua-duanya telah lama membina hubungan dengan masyarakat melalui organisasi parti, institusi sosial dan aktiviti kemasyarakatan.

Kelebihan BN turut diperkukuh oleh penguasaan politik tempatan yang membolehkan jentera mengenal pasti pengundi, menyusun gerak kerja serta menggerakkan sokongan secara lebih bersasar. PH pula berdepan keterbatasan jaringan akar umbi dan kesukaran menembusi kelompok pengundi Melayu yang telah mempunyai kecenderungan politik yang relatif stabil.

Konsolidasi undi Melayu melalui kerjasama BN–PN turut mengecilkan ruang PH untuk memanfaatkan pertandingan pelbagai penjuru yang sebelum ini berpotensi memecahkan sokongan parti-parti Melayu. Apabila persaingan sesama BN dan PN dapat dielakkan, PH kehilangan salah satu kelebihan struktur yang boleh membuka laluan kemenangan di kerusi marginal.

Justeru, penguasaan BN di jajaran majoriti Melayu bukan hanya bergantung pada populariti calon atau kekuatan kempen semasa, tetapi berakar pada struktur sokongan politik yang telah lama terbina. Tanpa perubahan besar terhadap kecenderungan pengundi Melayu, kedudukan BN–PN dijangka terus dominan di kerusi-kerusi dalam jajaran ini.

Psikografi Pengundi Muda Menjadi Cabaran Semua Parti

Dapatan ILHAM Centre menyaksikan jurang yang besar antara kemeriahan wacana politik di media sosial dengan realiti kecenderungan pengundi muda di lapangan. Pengaruh fear of missing out atau FOMO, budaya mengikut trend dan kandungan politik tular membentuk persepsi mereka, dengan gelombang biru dilihat lebih berjaya menarik perhatian segmen ini sepanjang kempen.

Menerusi kajian ini, 21 peratus anak muda bawah 30 tahun belum membuat keputusan di peti undi ketika kajian ini dilakukan. Kumpulan ini sebahagian besarnya memaklumkan kepada kami mereka akan membuat keputusan pada saat-saat akhir. Mereka akan membuat penilaian dan mencari maklumat berkenaan calon dan parti bertanding. Kami berpandangan mereka ini juga akan bersama dengan gelombang biru.

Namun, pengundi muda Melaka bukan kelompok yang seragam kerana kecenderungan mereka berbeza mengikut latar keluarga, pendidikan, pekerjaan dan lokaliti. Walaupun media sosial menjadi sumber pendedahan utama kepada politik, tahap kefahaman terhadap dasar, calon dan dinamika kepartian masih terbatas dalam kalangan sebahagian peserta kajian.

Pengaruh keluarga kekal dominan dalam membentuk pilihan politik anak muda meskipun mereka menganggap keputusan mengundi dibuat secara bebas. Kekurangan maklumat mengenai calon turut menyebabkan mereka lebih bergantung kepada jenama parti, kebiasaan keluarga dan tokoh tempatan yang dikenali berbanding penilaian mendalam terhadap tawaran politik.

Dari sudut keutamaan, pengundi muda lebih pragmatik dengan memberikan perhatian kepada peluang pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup dan kemudahan asas berbanding retorik politik. Kecenderungan pengundi muda Melayu masih lebih memihak kepada BN–PN, manakala pengundi muda Cina lebih dekat dengan PH, namun penerimaan bantuan kerajaan dan kecenderungan kepartian tidak semestinya membentuk kesetiaan politik yang berkekalan.

Secara keseluruhannya, psikografi pengundi muda memperlihatkan kelompok yang mudah dipengaruhi arus semasa dan belum mempunyai keterikatan kepartian yang benar-benar kukuh, khususnya dalam kalangan pengundi kali pertama, pelajar dan anak muda bandar. Kelebihan BN–PN dalam gelombang semasa tidak menjamin kesetiaan jangka panjang kerana perubahan trend, kewibawaan calon dan keresahan ekonomi berpotensi mengubah kecenderungan kelompok ini pada pilihan raya akan datang.

Undi PH Kekal Konsisten Tanpa Pertambahan Segmen Baharu

Dapatan ILHAM Centre menunjukkan PH masih berjaya mempertahankan sokongan terasnya, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kelompok bandar yang mempunyai kecenderungan politik yang telah terbentuk. Namun, kestabilan sokongan tersebut tidak disertai pertambahan segmen pengundi baharu yang signifikan untuk membolehkan PH mencabar dominasi BN–PN.

Kekuatan PH masih tertumpu kepada kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Cina lebih besar serta kelompok pengundi yang konsisten menolak BN. Sebaliknya, usaha memperluas pengaruh kepada pengundi Melayu, pengundi fence sitter dan kelompok luar bandar belum menunjukkan perubahan yang mampu mengalihkan keseimbangan persaingan.

Kegagalan membina naratif induk yang kuat turut mengehadkan keupayaan PH menarik pengundi yang sebelum ini tidak mempunyai keterikatan dengan gabungan tersebut. Kempen yang banyak bergantung kepada kekuatan calon secara individu tidak mencukupi untuk mencetuskan gelombang sokongan baharu pada skala seluruh negeri.

Dalam kalangan pengundi yang masih belum membuat keputusan, PH juga gagal menampilkan tawaran politik yang benar-benar berbeza daripada kerajaan negeri sedia ada. Keadaan ini menyebabkan sebahagian pengundi lebih selesa mengekalkan pilihan terdahulu atau memberikan kelebihan kepada gabungan yang dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menang.

Kesannya, PH berada dalam keadaan sokongan yang stabil tetapi tidak berkembang, sekali gus mengehadkan potensi kemenangan kepada kerusi tradisi dan beberapa kawasan marginal. Tanpa penembusan segmen baharu, PH berisiko kekal sebagai blok politik yang mempunyai sokongan konsisten tetapi tidak cukup besar untuk mengubah penguasaan kerajaan negeri.

Perjanjian CSA Kerajaan–BERSATU Gagal Diterjemahkan kepada Sokongan

Perjanjian Confidence and Supply Agreement (CSA) antara Kerajaan MADANI dan BERSATU tidak memperlihatkan keberkesanan yang jelas dalam membentuk persefahaman politik PH-BERSATU di peringkat pengundi. Kerjasama yang berlangsung di belakang tabir tanpa penzahiran hubungan politik secara terbuka menyebabkan hala tuju kesepakatan tersebut gagal difahami oleh akar umbi.

Pendekatan kerjasama secara ‘malu-malu’ ini mewujudkan ketaksaan dalam kalangan pengundi fence sitter yang tidak dapat mengenal pasti hubungan sebenar antara kedua-dua entiti politik. Ketiadaan mesej bersama menyebabkan penyokong PH dan BERSATU terus bergerak berdasarkan kesetiaan parti masing-masing tanpa dorongan yang jelas untuk menyatukan sokongan.

Berbeza dengan kerjasama BN–PN yang berjaya diterjemahkan kepada persefahaman jentera dan perpindahan undi, CSA Kerajaan–BERSATU tidak mempunyai mekanisme politik yang cukup berkesan di lapangan. Perundingan di peringkat kepimpinan semata-mata tidak memadai apabila pengundi tidak diberikan isyarat yang jelas mengenai kepentingan dan tujuan kerjasama tersebut.

Kegagalan menjelaskan bentuk kerjasama akhirnya merugikan kedua-dua pihak apabila potensi penyatuan undi tidak dapat dimanfaatkan secara optimum. Dalam sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP), perpecahan undi antara parti yang berkongsi kepentingan politik boleh memberikan kelebihan besar kepada lawan yang berjaya menyatukan sokongan.

Pengalaman Melaka memberikan pengajaran bahawa PH dan BERSATU perlu lebih nekad memuktamadkan pakatan pilihan raya secara rasmi sekiranya mahu menjadikan kerjasama tersebut sebagai strategi menghadapi BN–PN. Tanpa kesepakatan yang jelas dari segi calon, pembahagian kerusi, naratif dan mobilisasi jentera, kerjasama politik sedemikian berisiko kekal sebagai persefahaman elit yang gagal diterjemahkan kepada undi.

Prediksi ILHAM

ILHAM Centre merumuskan bahawa gelombang biru BN–PN sedang mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan yang ketara berbanding PH. Konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi dan penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri menjadi tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

Unjuran ILHAM Centre meletakkan BN–PN di hadapan dalam 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Manakala dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH iaitu Ayer Keroh dan Kesidang dikategorikan sebagai sengit.

Metodologi Kajian

Matlamat kajian pilihan raya bukan sekadar membuat prediksi atau ramalan kalah menang parti bertanding, tetapi lebih menumpukan advokasi kepada rakyat mengenai fenomena, tingkah laku pengundi dan elemen-elemen yang mempengaruhi pola pengundian dalam sesebuah pilihan raya ke arah pembentukan pendidikan demokrasi yang lebih matang dalam konteks politik bina negara.

Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan PRN Melaka ini serta sikap, tingkah laku dan pola kecenderungan pengundi, ILHAM Centre telah melaksanakan kajian lapangan bermula 1 November sehingga 12 November 2026.

Kajian ini menggabungkan kedua-dua kaedah kuantitatif dan kualitatif, manakala data kajian dikumpul secara triangulasi melibatkan soal selidik secara tatap muka, perbincangan kumpulan berfokus (FGD), temu bual mendalam (IDI). Kajian ini melibatkan 805 responden kuantitatif, 5 kumpulan FGD yang melibatkan 40 informan manakala IDI melibatkan 22 informan.

Proses pengumpulan data ini merangkumi seluruh 28 DUN dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza. Ralat pensampelan kajian adalah 3.45 peratus dengan tahap keyakinan pada paras 95 peratus.

Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Melaka 2021 turut dilakukan untuk mendapatkan insight yang lebih mendalam.

Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik) dan Dr Abdul Muqit Muhammad (Felo Penyelidik).

Related posts

Leave a Comment