SEPANG 13 Nov. – UMNO mengemukakan empat pilihan kepada DAP termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen susulan ketidakpuasan hatI parti itu yang ketara berhubung pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Ketua Penerangannya, Azalina Othman Said berkata, pilihan berkenaan merangkumi mendapatkan pengantaraan menerusi Majlis Perundingan, membenarkan aturan sedia ada diteruskan, mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan atau menamatkan kerjasama politik menerusi pembubaran Parlimen.
Menurut Azalina, Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai pada 16 Disember 2022 tidak memperuntukkan klausa penamatan sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15.
“Justeru, kesimpulan yang jelas dalam perkara ini adalah pembubaran Parlimen ke-15,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas desakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azalina menyifatkannya sebagai tindakan yang dikesali.
Beliau berkata, desakan secara terbuka terhadap presiden parti gabungan bukan pendekatan membina atau selari dengan semangat Perjanjian Gabungan.
Sebaliknya, katanya, sebarang perbezaan pandangan antara rakan gabungan perlu diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, bukannya tekanan awam atau desakan supaya seseorang pemimpin meletakkan jawatan.
Isu pertembungan kenyataan antara Gobind yang juga Menteri Digital dan Ahmad Zahid tercetus berikutan cadangan supaya Parlimen dibubarkan selepas peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Ahli Parlimen Damansara itu mencabar Ahmad Zahid dan menteri daripada UMNO serta BN untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet jika mereka tidak lagi yakin atau bersetuju dengan kepemimpinan Anwar.
Ahmad Zahid menolak desakan tersebut dan menegaskan tiada sebab untuk menteri BN meletakkan jawatan kerana sokongan terhadap Anwar di peringkat Persekutuan tidak pernah berbelah bagi.
Beliau sebaliknya menyarankan agar pemimpin DAP yang tidak sependapat supaya mengikuti langkah peletakan jawatan Anthony dan menyifatkan tindakan mendesak itu seperti gila talak.
Dalam pada itu, Azalina turut mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September 2026 yang memutuskan supaya Setiausaha Agungnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan pengampunan bersyarat itu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu, sekali gus menyumbang kepada ketidakstabilan politik dalam kalangan rakan gabungan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO akan terus menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai keputusan politik bersama demi kepentingan rakyat dan tanggungjawab kepada negara.
“UMNO akan terus menghormati komitmen yang telah dibuat, menghormati kepimpinan Perdana Menteri serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Berikut kenyataan penuh Azalina
Kenyataan YB Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP, yang menggesa Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, amatlah dikesali dan tidak konstruktif dalam memperkukuhkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
2. Kita perlu mengingati bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk susulan titah Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), melalui rundingan politik serta persefahaman bersama antara gabungan dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kini.
3. Pada 16 Disember 2022, gabungan-gabungan dalam Kerajaan Perpaduan telah memeterai Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia (yang boleh diakses secara terbuka). Perjanjian ini menetapkan kerangka kerjasama politik, kestabilan Parlimen serta kelancaran pentadbiran Kerajaan.
4. Di bawah Fasal 4 Perjanjian Kerjasama tersebut, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah bersetuju untuk menyokong Perdana Menteri dalam perkara berkaitan usul undi percaya, Rang Undang-Undang Perbekalan serta usul-usul prosedur yang berkaitan dan memberi kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan. UMNO mengiktiraf dan menghormati komitmen tersebut. Walaubagaimanapun, komitmen ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kewajipan bagi setiap rakan gabungan untuk bersetuju secara mutlak dengan setiap pendirian atau kenyataan politik yang dibuat oleh Perdana Menteri mahupun pemimpin politik yang lain.
5. Perlu ditegaskan bahawa Perjanjian Kerjasama ini bukan sekadar berkaitan kerjasama politik atau perkongsian kuasa. Perenggan C dalam Mukadimah (Recital), yang merupakan antara bahagian paling penting dalam Perjanjian ini, turut memperakui komitmen semua pihak untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.
6. Dalam konteks ini, kenyataan terbuka kepada Presiden parti rakan gabungan bukanlah suatu tindakan yang konstruktif mahupun selari dengan semangat Perjanjian Kerjasama ini. Sekiranya wujud perbezaan pandangan antara rakan-rakan gabungan, pendekatan yang sewajarnya ialah melalui dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau desakan supaya seseorang pemimpin meletakkan jawatan dalam Kerajaan Perpaduan kini.
7. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan, prinsip serta mandat politik parti. Tanggungjawab ini perlu dihormati, sebagaimana UMNO turut menghormati kepimpinan gabungannya. dan tanggungjawab rakan-rakan gabungannya.
8. UMNO mempunyai tanggungjawab moral untuk mempertahankan aspek- aspek penting dalam Perjanjian Kerjasama ini. Justeru, sebarang rujukan kepada titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Prerogatif Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan suatu perkara penting dalam Perjanjian ini yang akan terus dipelihara, dipertahankan dan diperjuangkan oleh UMNO.
9. Berhubung pengampunan yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah diketahui umum sejak awal tahun 2024, UMNO ingin menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa perlembagaan yang terletak pada pihak berkuasa yang berkenaan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menggambarkan pelaksanaan kuasa perlembagaan ini sebagai suatu keputusan politik secara unilateral yang boleh dikaitkan dengan manamana parti politik, termasuk UMNO.
10. Mengambil kira ketidakpuasan hati DAP yang ketara susulan daripada perkembangan terkini berhubung pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak, berikut merupakan empat opsyen yang dicadangkan kepada DAP:
10.1 Opsyen pertama ialah menggunakan mekanisme pengantaraan (mediation). Fasal 5(c) memperuntukkan mekanisme pengantaraan melalui Majlis Perundingan yang dianggotai wakil-wakil gabungan yang mengambil bahagian, bagi memantau pelaksanaan Perjanjian
Kerjasama serta memudah cara (facilitation) penyelesaian secara harmoni terhadap sebarang pertikaian atau salah faham. Dalam hal ini, amatlah menghairankan mengapa klausa pengantaraan tersebut tidak digunakan lebih awal, sedangkan isu pengampunan ini telah diketahui umum sejak Januari 2024.
10.2 Opsyen kedua ialah untuk menamatkan Perjanjian Kerjasama tersebut. Walau bagaimanapun, tiada sebarang klausa penamatan diperuntukkan dalam Perjanjian berkenaan kerana ia sememangnya bertujuan untuk berkuat kuasa sehingga tamat penggal Parlimen ke-15. Oleh itu, kesimpulan yang nyata sekiranya opsyen ini diambil ialah pembubaran Parlimen ke-15.
10.3 Opsyen ketiga ialah untuk DAP bertenang dan membenarkan aturan sedia ada untuk diteruskan. DAP juga pernah memperolehi manfaat daripada pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja pada tahun 2018 serta titah diraja pada tahun 2022 yang telah menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita menghormati kedua-dua peranan institusi diraja dari sudut perlembagaan dan prerogatif pengampunan diraja.
10.4 Pilihan keempat dan terakhir, sekiranya DAP masih tidak berpuas hati, ialah DAP boleh memohon supaya Perenggan C dalam Mukadimah (Recital) dikaji semula. UMNO menganggap perenggan ini sebagai antara peruntukan penting dalam Perjanjian Kerjasama tersebut. Sebarang pertimbangan oleh DAP untuk mengkaji semula Perenggan C ini boleh membawa kesan yang tidak dijangka terhadap kesinambungan Kerajaan Perpaduan.
11. Dalam perkembangan yang sama, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September 2026 yang memutuskan supaya Setiausaha Agungnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pengampunan bersyarat tersebut adalah menghairankan. Ini kerana keputusan tersebut dibuat secara unilateral oleh DAP tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu, sekali gus telah mengakibatkan ketidakstabilan politik dalam kalangan rakan gabungan.
12.Sebagai peringatan, tiada apa-apa peruntukan dalam Perjanjian Kerjasama ini yang menghalang mana-mana rakan gabungan dalam menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti lain di peringkat negeri. Perkara ini jelas dapat dilihat melalui kerjasama politik yang dijalinkan oleh pelbagai gabungan dalam Perjanjian ini semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November 2025 serta Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 pada Disember 2026 nanti.
13. UMNO berpendirian bahawa kerjasama politik di peringkat Persekutuan perlu dibezakan daripada aturan politik di peringkat negeri. Sebarang kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan, Melaka atau negeri-negeri lain hendaklah ditentukan berdasarkan keputusan kepimpinan parti masing-masing serta mengambil kira realiti dan keadaan politik di setiap negeri berkenaan.
14. Bagi UMNO, konsistensi merupakan satu prinsip yang perlu dipertahankan. Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan keputusan politik secara kolektif yang dibuat demi kepentingan rakyat serta tanggungjawab parti kepada negara. UMNO akan terus menunaikan komitmen yang telah dipersetujui, menghormati kepimpinan Perdana Menteri serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Pendirian UMNO telah dinyatakan dengan jelas. Kini, terpulang kepada DAP untuk menentukan langkah seterusn
YB DATO’ SRI AZALINA OTHMAN SAID KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA
