Terhad 5 liter setiap jemaah

JEDDAH: Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA) di Jeddah kini membenarkan jemaah haji, yang pulang ke negara masing-masing, untuk membawa air Zamzam menaiki pesawat antarabangsa.

Jemaah haji dibenarkan untuk membeli  hanya satu botol air Zamzam 5 liter menerusi salah satu tempat penjualan di premis lapangan terbang itu.

Menurut laporan Saudi Gazette, penguasa KAIA memperuntukkan laluan yang berasingan bagi air Zamzam dan penumpang tidak dibenarkan membawa air Zamzam di dalam bagasi yang didaftarkan ke dalam pesawat.

Difahamkan Pos Malaysia yang beroperasi di Makkah juga tidak dibenarkan mengirim air Zamzam seperti sebelum ini.

Sementara itu pihak berkuasa lapangan terbang bersedia menghebahkan lebih banyak mesej kesedaran serta pendidikan menerusi semua media sosialnya selain menyebarkan maklumat itu dalam kalangan jemaah di tempat penginapan di Makkah. 

Melalui inisiatif itu, lapor Saudi Gazette, KAIA ingin menyampaikan maklumat kepada jemaah haji berhubung semua arahan  berkaitan dengan pengurusan dan penghantaran bagasi di lapangan terbang.

KAIA akan menterjemahkan kandungan maklumat serta mesej kesedaran bagi memastikan maklumat tersebut sampai kepada semua jemaah haji dari negara-negara berbeza.

KAIA sudahpun melancarkan kempen kesedaran sebagai sebahagian daripada inisiatif “Your service is our honor”, yang dilancarkan oleh Airports Holding Company di semua lapangan terbang Saudi, sempena musim Haji dan cuti musim panas ini.

Kempen yang dilancarkan oleh KAIA termasuk beberapa mesej kesedaran dan pendidikan tentang cara untuk memudahkan penghantaran bagasi semasa penerbangan pulang. 

Ia menyatakan bahawa adalah penting untuk memastikan berat bagasi menepati berat yang dibenarkan seperti tertera pada tiket perjalanan dan tidak menyimpan sebarang cecair di dalamnya atau mengikat bagasi dengan tali yang boleh mengganggu penghantaran bagasi. 

Related posts

Leave a Comment