SINGAPURA 22 Mei – Sebanyak 131 penumpang dan 12 anak kapal Singapore Airlines (SIA) yang terlibat dalam insiden gelora udara selamat tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Changi kira-kira pukul 5.05 pagi ini.
Menurut kemas kini di Facebook SIA, ketibaan penumpang pesawat SQ 321 yang dilencongkan ke Bangkok semalam tiba dengan pesawat bantuan dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA, Goh Choon Phong,
Bagi keselesaan penumpang, SIA menyediakan kemudahan pengangkutan sama ada untuk pulang ke rumah atau hotel penginapan di samping membuat tempahan semula untuk penumpang yang mahu menyambung penerbangan ke destinasi lain.
“Kami juga menyediakan kemudahan penginapan atau akses lounge untuk membolehkan mereka berehat sehingga penerbangan seterusnya,” kata SIA.
SIA juga memaklumkan pada masa yang sama, sebanyak 79 penumpang dan enam anak kapal SQ321 berada di Bangkok, termasuk keluarga dan mereka yang masih mendapatkan rawatan berikutan insiden itu.
Pasukan SIA dari Singapura juga berada di Bangkok bagi membantu rakan-rakan dan pihak berkuasa tempatan serta memberi apa juga bantuan sokongan untuk penumpang dan anak kapal yang masih ada di sana.
Dalam pada itu Phong selaku CEO SIA menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia.
“Kami juga memohon maaf atas trauma yang dialami seluruh penumpang dan kru penerbangan ini. Kami menyediakan semua bantuan dan dukungan kepada mereka, bersama dengan keluarga dan orang-orang tersayang. Kesejahteraan penumpang dan staf kami adalah keutamaan kami.” kata hantaran itu.
Semalam, pesawat SQ321 yang sedang melalui Lembangan Irrawaddy (Irrawaddy Basin) pada ketinggian 37,000 kaki atau sekitar 11,280 meter berdepan dengan “gelora udara yang ekstrem secara tiba-tiba”.
Situasi yang berlaku 10 jam selepas pesawat itu berangkat dari Lapangan Terbang Heathrow menuju Singapura menyebabkan Boeing 777-300ER dilencongkan ke Bangkok untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada pukul 3.45 petang.
Susulan kejadian itu, seorang penumpang meninggal dunia manakala lebih 30 mengalami kecederaan.
Nnn
