Harapan korban kambing di masjid

SINGAPURA 10 Julai – Presiden Halimah Yacob berharap masjid setempat dapat menyambung semula upacara penyembelihan kambing korban setelah dunia bebas daripada wabak Covid-19 dan keadaan kembali tenang.

Dalam catatannya di Facebook semalam, Halimah berkata, setiap tahun ramai yang melakukan ibadah korban, tetapi tahun ini dilakukan di Australia dan daging yang dibekukan akan dibawa masuk bagi mereka yang melakukan ibadah korban.

“Penglibatan dalam ritual penyembelihan kambing di masjid- masjid, yang juga merupakan satu peluang bagi ibu bapa menerangkan dengan rapi kepada anak anak mereka ertinya pengorbanan dalam Islam, tidak dapat di lakukan tahun ini.

“Saya berharap bahawa setelah kita bebas dari Covid-19 dan keadaan tenang semula, dapatlah masjid-masjid memulakan semula penyembelihan kambing korban,” katanya.

Dalam catatannya itu, beliau juga berkata strata kelas, status sosial, kekayaan, kaum dan kewarganegaraan yang kerap kali memisahkan manusia dalam interaksi seharian tidak lagi membezakan individu ketika mengerjakan haji.

“Ia adalah pengalaman cukup merendahkan hati dengan pengalaman mengerjakan haji buat kali pertama adalah sesuatu yang payah dilupakan.

“Bagi umat Islam, ibadah haji adalah satu tuntutan agama yang perlu dilaksanakan sekali dalam seumur hidup. Ia biasanya dijalani selepas berbulan membuat persiapan terperinci dan memahami ritual agama dan bagi memperkukuh kerohanian seseorang dalam mengharungi perjalanan ini,” jelas Halimah lagi.

Beliau juga berdoa agar semua jemaah haji Singapura selamat pulang ke tanah air dalam keadaan sihat dan berjaya mendapat haji mabrur.

Seramai 900 jemaah Singapura berada di Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Related posts

Leave a Comment