Kerajaan pantau bantuan banjir Baling

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kerajaan sedang memantau pelaksanaan bantuan yang diumumkan sebelum ini kepada mangsa banjir di Baling, Kedah terutama bantuan baik pulih rumah yang terjejas.

Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, berkata pemantauan itu bagi memastikan tidak berlaku kelewatan khususnya bantuan membabitkan pembaikan rumah.

“Selepas banjir berlaku petang itu (4 Julai), pagi esoknya (5 Julai) kita umum beri bantuan tunai kepada mereka (mangsa), tetapi yang penting adalah rumah, apabila roboh perlu disegerakan dari segi pembinaan baharu atau baik pulih rumah.

“Tempat tinggal itu yang paling penting, selain bantuan kewangan,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Pada 5 Julai lalu, Ismail Sabri mengumumkan pemberian bantuan awal kepada kira-kira 1,490 mangsa banjir membabitkan 112 ketua isi rumah (KIR) membabitkan bantuan awal berbentuk wang ihsan RM1,000, bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 serta pembaikan rumah.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.

Terdahulu, Ismail Sabri menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Selesai khutbah, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman serta berswafoto dengan beberapa jemaah, sebelum meninggalkan pekarangan masjid kira-kira 9.15 pagi.

Related posts

Leave a Comment