Raja Salman doakan kesejahteraan jemaah

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mendoakan kesejahteraan sejuta jemaah haji yang menunaikan ibadah itu tahun ini, sekali gus mendapat haji yang mabrur.

Dalam perutusan khas sempena perayaan Aidiladha yang disiarkan di televisyen, Raja Salman berkata, kerajaan Arab Saudi berupaya meningkatkan jumlah jemaah haji tahun ini kepada sejuta orang, baik dari dalam dan luar negara, disebabkan usaha positif yang dilakukan dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pada masa sama, pihak berkuasa turut mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan jemaah haji sentiasa terjamin.

Baginda berdoa kepada Allah supaya menerima haji semua jemaah dan memuji usaha semua yang terbabit dalam memudahkan acara tahunan itu.

Selain memerlukan langkah tambahan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan jemaah berikutan Covid-19, suhu panas mencecah 42 darjah Celsius turut menimbulkan kebimbangan mengenai dehidrasi, namun ia tidak menghalang jemaah menunaikan wukuf dalam keadaan tenang dan lancar.

Jemaah haji mula bergerak kembali ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir ibadat haji selepas berkumpul dan mendengar khutbah Arafah.

Beberapa minit selepas matahari terbenam, jemaah mula bergerak ke dataran terbuka Muzdalifah yang berbatu, di mana mereka akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Mereka juga mengutip batu kerikil untuk ibadat melontar di Jamrat Al-Aqabah hari ini, iaitu hari pertama Aidiladha dan hari ke-10 Zulhijjah.

Tiga hari berikutnya iaitu Ahad, Isnin dan Selasa adalah hari Tasyriq, di mana jemaah haji akan melempar tujuh batu ke atas setiap Jamarat kecil, sederhana dan besar.

Related posts

Leave a Comment