KOTA KINABALU 6 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Hakim Syarie di negeri ini menyelesaikan masalah umat Islam dengan adil dan sebaiknya tanpa mengambil masa yang lama.
Baginda juga berharap, Hakim Syarie dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik terutamanya dalam menyelesaikan masalah umat Islam di Sabah.
Titah baginda, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menentukan segala urusan berkaitan hal-hal rumah tangga, faraid, undang-undang syarak diuruskan dengan sebaiknya dan secepat mungkin berlandaskan hukum syariah dan elemen syariah.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, di sini hari ini.
*
Projek pembinaan kompleks setinggi empat tingkat itu dengan kos RM58.12 juta merupakan satu projek rancangan boleh pinda di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang bermula pada 9 Nov 2017 dan siap pada 22 Julai 2021.
Kompleks itu mempunyai dewan perbicaraan Mahkamah Rayuan Syariah, dua dewan perbicaraan Mahkamah Tinggi Syariah, tiga dewan perbicaraan Mahkamah Rendah Syariah, kamar hakim syarie, pejabat pentadbiran, bilik pegawai, bilik sulh, bilik teknologi maklumat, perpustakaan, surau, kafeteria dan taman asuhan kanak-kanak.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Al-Sultan Abdullah yang berangkat dalam jelajah Kembara Kenali Borneo, bertitah Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah secara tidak langsung adalah manifestasi kewujudan pentadbiran Islam bertapak di negeri Sabah setelah wujudnya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak di negeri ini pada 46 tahun lepas.
“Ini usaha diusahakan kepimpinan terdahulu daripada TYT (Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri) dahulu, Ketua Menteri dahulu, menteri Kabinet bertanggungjawab juga mufti-mufti dahulu dan kini,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada 23 Disember 1977, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 dan melalui enakmen ini Yang Dipertua Negeri Sabah telah diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah di negeri ini.
Seri Paduka Baginda berkenan menandatangani plak perasmian kompleks itu dan mengadakan lawatan bagi meninjau sendiri fasiliti disediakan, sebelum bergambar kenangan dengan petugas mahkamah dan kemudian berangkat meninggalkan majlis.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berangkat dalam pengembaraan sejauh 2,154 kilometer melalui program Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
