Altimet mahu satukan anggota PKR

KUALA LUMPUR 9 Julai – Penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad , ‘pemenang ketiga’ sebagai Ketua Cabang PKR Ampang, menaruh harapan untuk menyatukan semua anggota PKR di cabangnya.

Dalam satu kenyataan, penyanyi yang lebih dikenali sebagai Altimet berkata kemenangan tanpa dijangka itu membawa satu tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya.

“Apatah lagi bagi seorang yang dilihat sebagai masih setahun jagung dalam arena ini. Tetapi, ini bukan satu tugas untuk seorang individu, ia adalah usaha bersama ahli yang menjiwai semangat parti reformis PKR.

“Saya yakin barisan ini mampu menerajui pergerakan parti di kawasan ini dengan cemerlang,” katanya mengulas pengesahan kemenangannya oleh Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), semalam.

Altimet adalah individu ketiga yang diumum memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Ampang selepas memperoleh sebanyak 743 undian sekali gus mengenepikan pesaing terdekatnya, pelakon dan pengarah, Hans Isaac.

Pada 29 Mei lalu, JPP memaklumkan Daing Muhammad Reduan Bachok menang, menewaskan pencabar lain, termasuk Altimet dan Hans, namun keputusan itu dibatalkan sebelum kemenangan beralih kepada Hans.

Sementara itu,  Hans Isaac menuntut jawapan daripada JPP PKR berhubung keputusan terkini pemilihan itu.

Beliau yang menang selepas pemilihan semula dibuat pada 29 Jun lalu berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada JPP hari ini dan memberi tempoh seminggu untuk jawatankuasa itu mengemukakan bukti terhadap beberapa isu teknikal.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, bagaimanapun menegaskan beliau akur dengan sebarang keputusan sekiranya penjelasan yang diberikan JPP kelak menunjukkan proses pemilihan dibuat secara adil dan berintegriti.

Related posts

Leave a Comment