BAITULMUQADDIS – Sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin, kebanyakannya kanak-kanak, terbunuh dan puluhan lagi cedera terkena serangan peluru berpandu Israel ketika mengambil air di kem pelarian Nuseirat, Gaza semalam.
Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang kesal dengan kejadian itu berkata peluru berpandu berkenaan disasarkan ke tempat lain tetapi berlaku kerosakan dan jatuh beberapa puluh meter dari sasaran.
Doktor kecemasan di Hospital Al-Awda, Dr Ahmed Abu Saifan berkata, serangan itu membedil satu pusat pengagihan air di kem pelarian Nuseirat, yang mengorbankan enam kanak-kanak dan mencederakan 17 yang lain.
Kekurangan air di Gaza semakin meruncing dalam beberapa minggu kebelakangan ini, apabila kekurangan bahan api menyebabkan loji penyahgaraman dan kemudahan sanitasi ditutup.
Perkara itu memaksa penduduk bergantung kepada pusat kutipan air untuk mengisi bekas plastik mereka.
Beberapa jam kemudian, seramai 12 orang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan Israel ke atas sebuah pasar di Bandar Gaza, termasuk pakar perubatan terkenal, Dr Ahmad Qandil.
Sementara itu, rundingan tidak langsung berhubung cadangan gencatan senjata 60 hari oleh Amerika Syarikat (AS) berlangsung di Doha namun harapan semakin pudar, apabila kedua-dua pihak saling menuding jari dan enggan bertolak ansur.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu video yang dimuat naik di Telegram semalam berkata Israel tidak akan bertolak ansur terhadap tuntutan utamanya.
Antaranya termasuk pembebasan semua tebusan yang masih berada di Gaza, penghapusan Hamas, dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.
Nnnn
