Malaysia – Turkiye kukuh kerjasama

ANKARA 7 Julai – Malaysia dan Tukiye bersetuju untuk memperkukuh kerjasama ke tahap perkongsian strategik komprehensif dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, minyak sawit, pendidikan dan pertahanan.

Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob, berkata, hasil perbincangan produktif dalam rangka lawatan kali ini bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pada hari ini saya dan Presiden Turkiye bersetuju supaya kerjasama ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif memandangkan skop kerjasama telah berkembang meliputi pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan dan keselamatan makanan,” katanya pada sidang media kemuncak lawatan rasmi beliau ke Turkiye di Istana Presiden, malam ini.

Tahun ini masuk tahun ke-58 hubungan diplomatik Malaysia dan Turkiye. Pada 2014, ketika lawatan Presiden Turkiye ke Kuala Lumpur, Malaysia dan Turkiye melancarkan rangka kerjasama strategik.

Menyentuh kerjasama dua hala yang bakal diperkukuh, Ismail Sabri berkata, dari segi ekonomi, Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk menangani isu keselamatan makanan yang semakin meruncing.

Beliau berkata, pelbagai langkah segera akan dilaksanakan kedua-dua negara bagi memastikan rantaian bekalan sentiasa mencukupi dan stabil.

“Malaysia dan Turkiye akan tingkatkan perdagangan produk makanan dan akan terus menjalin kerjasama meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

“Pada masa sama, Malaysia dan Turkiye akan turut memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan dan kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil,” katanya.

Ismail Sabri turut berkata, potensi besar perdagangan membabitkan kedua-dua negara akan diperluaskan menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA).

Jelasnya, ketika ini, MTFTA sedang dalam proses akhir untuk dimuktamadkan dengan beberapa pertambahan bidang baharu termasuk pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

“Dalam mengimbangi perdagangan dua hala, Presiden Turkiye dan saya turut menyentuh potensi Malaysia bukan saja sebagai rakan dagang utama tetapi Malaysia sebagai pintu masuk dan hab perdagangan ASEAN.

“Kedua negara sedang berada dalam pusingan akhir peluasan skop MTFTA. Dari segi pelaburan, saya hargai keyakinan pelabur Turkiye di Malaysia. Saya juga yakin peluasan MTFTA akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dua hala,” katanya yang mengadakan rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye.

Related posts

Leave a Comment