Kerjasama stabil bekalan makanan

ANKARA 7 Julai – Malaysia dan Turkiye hari ini bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata beliau dan Presiden, Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19 serta konflik Rusia-Ukraine

Justeru, beliau berkata, pelbagai langkah segera akan dilaksanakan kedua-dua negara bagi memastikan rantaian bekalan sentiasa mencukupi dan stabil.

Bercakap pada sidang media bersama Presiden Turkiye, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Turkiye akan meningkatkan perdagangan produk makanan dan akan terus menjalin kerjasama meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

“Pada masa sama, Malaysia dan Turkiye akan turut memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan dan kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil,” katanya.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke republik itu atas jemputan Erdogan juga berkata, beliau turut menyampaikan berita baik kepada Presiden Turkiye itu bahawa kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah dari 208 universiti di Turkiye.

“Saya yakin ini akan meningkatkan produk penyelidikan bertaraf antarabangsa dari universiti kedua-dua negara.

Tambahan lagi, ia adalah khabar yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Keluarga Malaysia yang telah dan sedang menimba ilmu di negara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau dan Erdogan mengakui kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkat.

“Saya sudah memaklumkan kepada Presiden (Erdogan) bahawa dalam rangka lawatan ini, saya turut berpeluang mengadakan pertemuan dan lawatan dengan beberapa pemain industri pertahanan di Turkiye,” katanya yang turut melawat dua syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI) semalam.

Kedua-dua negara Islam itu juga sependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin, kata Ismail Sabri sambil menambah Malaysia menghargai pendirian dan usaha Turkiye dalam membela rakyat Palestin.

“Kedua-dua negara bersama negara yang berfikiran serupa akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Mengenai konflik berpanjangan Rusia-Ukraine, Perdana Menteri berkata, beliau memuji usaha Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik ini dan mereka bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat itu.

Pada pertemuan dengan Erdogan itu juga, Perdana Menteri berkata beliau turut mengucapkan tahniah kepada Presiden atas penerimaan permohonan pertukaran nama Turki kepada Turkiye yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara merekodkan RM16.97 bilion (US$4.09 bilion) pada 2021 dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (US$130.91 juta).

Related posts

Leave a Comment