Lelaki dijel 2 tahun tipu ‘jemaah haji’

SINGAPURA 7 Julai – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun hari ini kerana memperdayakan lebih 85 mangsa dalam satu penipuan berkaitan ibadah haji  pada tahun 2018.

Mohd Ramlee AB Samad, 62 tahun, mengaku bersalah atas 20 tuduhan menipu dengan lagi 65 kesalahan serupa dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Dia mengaku menipu 69 individu untuk membayar lebih S$97,000 pada 2018, kononnya bagi lawatan untuk menunaikan ibadah haji.

Menurut laporan media Singapura, semua 85 mangsa juga diperdaya untuk menyerahkan pasport mereka kepada Ramlee bagi mendapatkan visa.

Dia menjalankan penipuan itu dengan bantuan rakannya, Fahrorazi Sohoi, yang ketika itu ialah seorang guru agama serta muflis.

Mahkamah diberitahu bahawa pada Mei 2018, Ramlee memberitahu Fahrorazi ada ruang kosong untuk mengikuti perjalanan berdiskaun bagi haji tahun itu, dari 19 hingga 21 Ogos 2018.

Ramlee mendakwa dia diberitahu tentang perjalanan berdiskaun itu oleh seorang lelaki bernama Mohsein, dikatakan merupakan seorang wakil penguasa Saudi yang berurusan dengan penguasa Singapura.

Ramlee mendakwa kos penerbangan dan penginapan akan dibiayai oleh penguasa Saudi dan peserta hanya perlu membayar S$1,550 bagi cukai lapangan terbang, yuran pentadbiran dan ibadah korban.

Dia juga mendakwa kuota peserta akan “dikira di bawah kuota Batam dan Brunei kerana kuota haji Singapura sudah penuh”.

Ramlee meminta Fahrorazi untuk mencari peserta yang berminat dan mengumpulkan pembayaran serta pasport daripada mereka.

Sebagai balasan, Fahrorazi akan menerima upah S$200 bagi setiap peserta yang mengambil bahagian. Fahrorazi bersetuju dan mula menyebarkan khabar itu.

Related posts

Leave a Comment