KUALA LUMPUR 15 Okt. – Menamakan calon Perdana Menteri lebih awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh mengundang ‘bahaya’ kepada pemimpin yang dipilih, kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu berkata selain itu, Perikatan Nasional (PN) mengutamakan integriti dalam memilih calon Perdana Menteri.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Abdul Hadi tampil menjelaskan mengapa tidak menamakan daripada awal siapa calon Perdana Menteri itu.
“Mengapa kita tak namakan daripada awal… (sebabnya) nak jaga keselamatan, (kerana) ada bahayanya (jika kita umum awal siapa calon PM).
Kadang-kadang kalau tahu dia calon Perdana Menteri, disogoknya jongkong emas, letak jongkong emas dalam kereta, letak dadah dan sebagainya… (jadi orang itu) tidak boleh bertanding atas sebab yang berlaku…. ini perkara perlu difahami semua pihak,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, perkara utama bagi PN adalah memilih pemimpin yang berintegriti dan memastikan orang itu menang pilihan raya terlebih dahulu.
“Tak menang pilihan raya, (bagaimana) nak jadi Perdana Menteri?” katanya.
Isu mengenai calon Perdana Menteri daripada PN timbul selepas Bersatu meluluskan usul menamakan Presidennya, Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu, 7 September lalu.
Pas pula ketika muktamar parti September, Dewan Pemuda Pas mencadangkan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon utama Perdana Menteri bagi PN, selepas Presiden, Abdul Hadi Awang menyatakan hasrat untuk tidak menyandang jawatan itu.
Pada masa sama muktamar juga meluluskan usul supaya kepemimpinan Pas mengambil alih teraju PN dan memimpin negara.
Susulan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, memaklumkan pimpinan tertinggi PN akan berbincang bagi menentukan calon Perdana Menteri daripada gabungan itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi juga berkata, PN akan berusaha membuat perubahan dalam kepemimpinan negara jika memenangi pada PRU16.
Pas katanya berusaha ke arah itu, termasuk memperkenal cara pemilihan Islam, dengan setiap calon yang bertanding dinilai dari segi integriti, ilmu dan akhlak.
“Kalau berlaku salah laku, bukan (hanya) salah laku terhadap parti, (tetapi) hal perlakuan moral pun, dipecat daripada parti, walaupun kita kurang kerusi,” katanya.
Nnnn
