Pilihan berpaksi harapan bukan ketakutan

LONDON – Kemenangan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York adalah satu pilihan rakyat yang berpaksikan “harapan, bukan ketakutan” serta “perpaduan mengatasi perpecahan.”

Menurut Datuk Bandar London, Sadiq Khan, keputusan penduduk New York memilih Mamdani menunjukkan bahawa nilai-nilai inklusif dan progresif masih menjadi pegangan utama di bandar-bandar besar dunia.

Dalam temu bual bersama podcast Global Story terbitan BBC, Khan berkata, pengundi telah membuat pilihan yang jelas, memilih harapan berbanding ketakutan, dan perpaduan berbanding perpecahan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mamdani atas kejayaan bersejarahnya,

Khan berkata, beliau belum sempat berbicara secara langsung dengan Mamdani, namun telah menghantar mesej ringkas.

Mengulas kenyataan beberapa tokoh konservatif Amerika yang menjadikan pentadbiran beliau sebagai “kisah amaran” semasa kempen menentang Mamdani, Khan berkata: “Salah satu perkara yang saya pelajari sejak kecil ialah, jika ada yang cuba membuli anda, berdirilah dan lawan.”

Beliau menambah, gerakan politik tertentu cuba membuli golongan minoriti dan pengundi, termasuk Mamdani dan dirinya sendiri.

“Saya gembira kerana mereka gagal – baik di London mahupun di New York.” katanya sambil menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang retorik politik yang bersifat perkauman dan Islamofobia.

Khan berkata, beliau dan Mamdani sudah biasa dan tabah menghadapi suasana itu tetapi bagaimana jika anda seorang minoriti yang sedang mempertimbangkan untuk menyertai politik.

“Bayangkan jika anda seorang Muslim Amerika atau Muslim London yang bangga dengan identiti anda. Keluarga anda mungkin akan melarang anda daripada tampil ke depan, daripada berkhidmat kepada masyarakat. Itu sangat menyedihkan.” katanya.

Merujuk kepada hubungan tegang beliau dengan Presiden Donald Trump, Khan berkata secara sinis: “Saya mungkin sering menjadi fokus dalam kenyataan Presiden Donald Trump, namun saya boleh tegaskan bahawa beliau tidak menjadi perhatian utama saya.”

Related posts

Leave a Comment