Covid-19 : Waspada ketika sambut Aidiladha

PUTRAJAYA 7 Julai – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada ketika sambutan Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini berikutan peningkatan kes Covid-19.

Katanya, mereka perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuat ujian kendiri sebelum pulang ke kampung.

Menurut Khairy, ketika sambutan Aidilfitri,  bilangan kes Covid-19 meningkat mendadak kepada 3,410 kes pada 12 Mei lalu yang antara lain berpunca daripada peningkatan kadar pergerakan dalam masyarakat dan aktiviti perkumpulan ramai.

“Jadi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini, teruskan berwaspada apabila pergi menziarah ahli keluarga.

Pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup dan sesak, amalkan #TRIIS serta lakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

TRIIS merujuk kepada Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum) dan Seek (Cari) seperti disarankan KKM.

Sebelum ini, Khairy memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil ringan jangkitan akibat wabak Covid-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas.

Beliau dilaporkan berkata, kini lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang didorong oleh dua subvarian berkenaan.

Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kembali menunjukkan peningkatan iaitu semalam merekodkan 3,561 kes.

Related posts

Leave a Comment