17 juta warga Kanada dijangkiti Omicron

OTTAWA: Lebih 17 juta penduduk Kanada atau separuh daripada penduduk negara itu dijangkiti Omicron hanya dalam tempoh lima bulan bermula Disember tahun lalu.

Menurut Pasukan Petugas Imuniti Covid-19 (CITF) Kanada, sebelum Omicron, hanya tujuh peratus penduduk memiliki antibodi selepas dijangkiti virus itu, namun meningkat 45 peratus antara Disember 2021 hingga Mei lalu.

Peningkatan itu bersamaan lebih 100,000 jangkitan sehari, iaitu lebih 10 kali ganda jumlah kes harian yang direkodkan ketika kemuncak gelombang SARS-CoV-2 dalam tempoh dua tahun lalu.

Kadar jangkitan tertinggi dikesan dalam kalangan remaja berusia 17 hingga 24 tahun, berdasarkan derma darah kepada Perkhidmatan Darah Kanada, dan 65 peratus daripadanya memiliki antibodi setakat hujung Mei lalu.

Pengarah Eksekutif CITF Kanada, Tim Evans, menyifatkan Omicorn umpama tsunami, dan subvarian Omicron dikesan menular sejak itu menjadikan jumlah warga Kanada yang dijangkiti melepasi 50 peratus.

Pengerusi Bersama CITF Kanada, David Naylor, pula memaklumkan jutaan penduduk Kanada kini memiliki imuniti hibrid hasil gabungan vaksin dan jangkitan Covid-19.

“Malangnya, bukti yang ada menunjukkan kebanyakan individu memiliki antibodi ini kekal berisiko dijangkiti semula dengan virus daripada subvarian Omicron,” katanya.

Pada 23 April 2020, kerajaan Kanada melancarkan CITF dengan mandat mempercepat, menyokong, membiayai dan mengharmonikan maklumat mengenai imuniti SARS-CoV-2.

Ia bagi membolehkan pembuat keputusan peringkat persekutuan, daerah dan wilayah melindungi penduduk Kanada serta mengurangkan kesan pandemik.

Related posts

Leave a Comment