UMNO belum terima surat, Zafrul ke Makkah

KUALA LUMPUR 30 Mei – UMNO belum menerima secara rasmi surat Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyatakan meletakkan semua jawatan dalam parti seterusnya keahlian UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO juga memandang serius niat peletakan jawatan kerana ingin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam kenyataannya, beliau berkata, adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya.

Terdahulu, Zafrul dalam kenyataanya memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO dengan menyatakan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Katanya, keputusan sukar itu dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.

“Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Zafrul kemudiannya dalam satu hantaran di Facebooknya memberitahu bahawa beliau akan menunaikan ibadah haji.

Katanya, malam tadi berlangsung majlis doa selamat sebelum perjalanan ke Tanah Suci yang dihadiri insan-insan tersayang dan sahabat handai.

“Doakanlah agar perjalanan dan ibadah saya dipermudahkan, diterima, dan dikurniakan haji yang mabrur. Insya-Allah, saya akan manfaatkan setiap detik di sana. Doakan saya ya!,” katanya.

Mengikut rekod, penerbangan terakhir yang dikendalikan Tabung Haji (TH) adalah pada hari ini, 30 Mei 2025.

Nnn

Related posts

Leave a Comment