Logo : Pas belum buat keputusan

MARANG 3 Julai- Pas masih belum membuat sebarang keputusan serta memuktamadkan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  parti itu pernah menggunakan logo berkenaan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka walaupun calon berkenaan daripada parti Pas.

Katanya, bagi menghadapi PRU15 nanti, rundingan penggunaan logo akan terus dilakukan sehingga mencapai satu kata putus.

“Belum muktamad (penggunaan logo PN), itu pandangan, itu  cadangan daripada beberapa pihak tetapi parti belum membuat keputusan. Maka parti akan bincang perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Marang, di sini pada Ahad.

Ditanya berhubung kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin berhubung penggunaan logo berkenaan pada pilihan raya akan datang, Tuan Ibrahim berpandangan itu adalah menerusi persetujuan sebelum ini.

“Saya fikir apa yang disebutkan itu ialah apa yang telah kita persetujui sebelum ini iaitu pilihan raya Melaka dan Johor yang kita gunakan satu logo,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dipetik berkata, perkara itu turut dipersetujui Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Related posts

Leave a Comment