Tok Mun meninggal dunia

KUALA TERENGGANU 3 Julai – Tok Mun, calon pilihan raya umum tertua yang pernah menceriakan politik negara, meninggal dunia hari ini.

Tok Mun atau nama sebenar, Maimun Yusuf, 103 tahun yang menghidap kanser, masalah hati dan buah pinggang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Atas Tol, di sini, pukul 3.30 petang, hari ini.

Cucu arwah, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, berkata kematian Tok Mun disedari anak saudaranya, Meriam Mamat, 72, ketika menghantar makanan petang tadi.

“Terkejut dengan keadaan itu, ibu saudara kemudian segera memberitahu suaminya sebelum kami semua datang untuk menguruskan jasad arwah,” katanya.

Tuan Norazlina berkata, Tok Mun tidak berselera makan sejak tiga bulan lalu dan mereka sekeluarga menjaganya secara bergilir-gilir.

Jumaat minggu lalu, doktor yang melakukan pemeriksaan di rumah memaklumkan penyakit yang dialami Tok Mun.

“Tok tidak memberitahu keadaan sebenar kesihatannya dan kami ingatkan masalah tua,” katanya.

Tok Mun pernah menggemparkan negara apabila bertanding dalam Pilihan Raya Umun (PRU) ke-12 kerusi Kuala Terengganu pada usia 89 tahun dan PRU 13, sebagai calon Bebas.

Related posts

Leave a Comment