Lebih 300,000 kanak-kanak belum vaksin

BANGI 29 Jun –  Lebih 300,000 kanak-kanak di negara ini belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata walaupun jumlah itu tinggi, terdapat perubahan pandangan dalam kalangan ibu bapa yang kini mahukan anak mereka disuntik vaksin.

Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) menunggu maklum balas orang ramai untuk melihat sama ada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dibuka semula.

PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula Februari lalu dan ia ditutup pada 31 Mei tetapi dibuka semula selama lima hari iaitu bermula 20 Jun hingga Jumaat lalu.

“Apa yang kita lihat sepanjang lima hari penganjuran itu, kita dapati ia mendapat permintaan begitu memberangsangkan iaitu 300 orang pada hari pertama kemudian meningkat kepada 500, 700, 1,700 dan pada hari terakhir 2,100 orang.

“Saya berpandangan kehadiran ini mungkin dari kalangan mereka yang terlepas pandang atau duduk di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses maklumat yang tepat dan mereka hadir membawa anak-anak pada program terakhir itu,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyalahgunaan Bahan (PREVENT) 2022.

Ditanya mengenai peningkatan pengambilan vaksin itu, Noor Azmi berkata ia turut disebabkan pandangan ibu bapa yang mula berubah dan menerima kebaikan vaksin Covid-19.

“Sebelum ini ada kalangan ibu bapa yang hanya mahu menunggu dan lihat sahaja, tetapi apabila melihat keberkesanan vaksin ini dalam melawan Covid-19, mereka tidak lagi ragu-ragu sebaliknya hadir untuk memastikan anak mereka mendapat suntikan,” katanya.

Dr Noor Azmi menjelaskan, ramai hadir pada hari terakhir PICKids juga disebabkan ramai kanak-kanak yang sudah cukup umur.

“Ada ibu bapa yang mahu mendapatkan vaksin untuk anak mereka tetapi belum melepasi umur lima tahun atau berada di hari terakhir memasuki umur itu. Apabila kesempatan itu ada, mereka terus hadir mendapatkan suntikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment