Johor catat peningkatan kes ILI, URTI

JOHOR BAHRU 28 Jun – Johor mencatatkan trend peningkatan kes dan wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata,

sebanyak 952 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-25/2022, iaitu peningkatan sebanyak 70.9 peratus berbanding 557 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata bilangan kluster wabak berkenaan yang dilaporkan hingga ME 25/2022 juga menunjukkan peningkatan, iaitu 11 kluster berbanding tujuh kluster bagi tempoh sama tahun lepas.

Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan iaitu sebanyak 91 peratus.

Secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

Menurut beliau, pemantauan dijalankan oleh JKNJ terhadap jangkitan ILI dan URTI mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.

JKNJ menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan iaitu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan.

Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.

Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya satu meter dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala selain digalakkan mendapatkan pelalian vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan swasta.

Related posts

Leave a Comment