Amaran gelombang baharu di Canberra

CANBERRA: Pihak berkuasa kesihatan Canberra memberi amaran mengenai gelombang baharu jangkitan Covid-19 di wilayah itu, demikian kata Menteri Kesihatan Ibu Negara Australia (ACT) Rachel Stephen-Smith.

Memetik kenyataan Canberra Times, peningkatan kes dijangka berpotensi mencetuskan gelombang Covid-19 pada musim sejuk bermula Julai ini dan berlanjutan hingga Ogos.

“Kami menyedari perkara itu dan kami terus memantau bilangan kes untuk melihat sama ada trajektori itu akan kekal,” katanya selepas ACT merekodkan kadar kemasukan baharu ke hospital akibat Covid-19.

Seramai 121 orang yang dijangkiti virus Covid-19 kini menerima rawatan di hospital ACT, merupakan angka tertinggi sejak permulaan wabak itu.

Jangkitan Covid-19 di wad kanser di Hospital Canberra telah menyumbang kepada peningkatan itu.

Pengarah Wad klinikal, Paul Craft berkata pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana Covid-19 telah merebak di wad.

Australia merekodkan 8,023,259 jangkitan Covid-19, termasuk 9,704 kematian, dan 226,653 kes aktif sehingga Isnin.

Sementara itu, 3,133 kes masih dirawat di hospital termasuk 111 ditempatkan di unit rawatan rapi.

Related posts

Leave a Comment