Covid-19 Malaysia 4,558,558 kes

PUTRAJAYA 28 Jun – Lapan kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam berbanding hanya satu yang dilaporkan pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan 35,754 orang meninggal dunia setakat ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, daripada lapan kematian, satu melibatkan kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) iaitu di Pulau Pinang, sementara tiga kes di Johor dan masing-masing satu di Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor

Sementara itu, sebanyak 1,894 kes harian dilaporkan semalam yang melibatkan 1,888 kes jangkitan tempatan dan enam kes import, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,558,558 kes.

Manakala kes aktif Covid-19 dalam negara ketika ini sebanyak 28,093 di mana 26,894 individu atau 95.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah manakala hanya 15 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Seramai 1,150 pesakit dirawat di hospital dengan 34 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sebanyak 1,944 kes sembuh dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 4,494,711 atau 98.60 peratus pulih.

Sementara itu Selangor masih mendahului negeri-negeri lain dengan merekodkan kes harian tertinggi iaitu 615 berbanding 690 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu 1,387,209.

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 450 berbanding 517 kelmarin, Pulau Pinang 169, Negeri Sembilan 124, Sabah 123, Perak 104, Johor 72, Melaka 56, Kedah 49, Sarawak 34, Pahang 30, Terengganu 30, Kelantan 22, Perlis 11, Wilayah Persekutuan Putrajaya 4 dan Wilayah Persekutuan Labuan 1.

Related posts

Leave a Comment