Warisan, Bersatu kini Bebas

KOTA KINABALU 28 Jun – Selepas tujuh bulan menyertai Bersatu, Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi, hari ini mengumumkan keluar daripada parti pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu.

Susulan tindakan itu, Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, dalam kenyataannya, mengumumkan beliau kini menjadi Ahli Parlimen Bebas tetapi dengan pendirian menyokong Kerajaan Persekutuan dan Sabah pada masa ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Sabah, menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 atas tiket Warisan dan, bertindak keluar daripada parti itu pada 30 Oktober lalu.

Pada 26 November 2021, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dalam kenyataannya mengesahkan penyertaan Mohammadin Ketapi.

“Mesyuarat Khas MPT Bersatu sudah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan saja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, maka ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Sementara itu pada sidang medianya, Mohamaddin mendakwa mengambil tindakan itu kerana tidak diberi peranan dalam parti termasuk di kawasan Parlimen Lahad Datu yang diwakilinya berikutan semua hal Bersatu dikendalikan pemimpin sedia ada.

“Keputusan keluar daripada Bersatu ini kerana saya tidak diberi peranan yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti itu sebelum ini.

“Saya dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, namun setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan yang diberikan,” katanya di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, tindakannya mengumumkan keluar Bersatu adalah atas kehendaknya sendiri tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin parti itu termasuk presidennya, Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau juga tidak bimbang digelar ‘katak’ berikutan tindakannya yang kerap keluar parti kerana orang ramai tidak memahami apa yang ditanggungnya berada dalam parti yang tidak memberi apa-apa peranan kepadanya.

“Saya keluar Warisan dan selepas itu saya masuk Bersatu, lepas enam bulan saya keluar Bersatu lagi. Banyak yang panggil katak lompat sana sini tapi rakyat tidak faham.

“Bayangkan apa jadi duduk saja dalam parti selama enam bulan, bukannya bertelur.

“Saya tidak bimbang pandangan orang ramai. Siapa panggil katak, kataklah panggil monyet, monyetlah.

“Kalau katak tiada pelajaran itu namanya di bawah tempurung tapi kalau ada pelajaran dia lompat di atas tempurung, untuk rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment