Jam Rolex dibida RM135,000 milik individu Pasir Gudang

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Individu yang memenangi bidaan jam tangan Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah pun mendapatkan jam itu hari ini.

Dr Zulkifli memaklumkan jam tangan yang diletak pada harga tapak RM40,000 dan berjaya  dibida dengan harga tertinggi RM135,000 itu diserahkan pada pukul 3.15 petang ini di pejabatnya.

Individu berkenaan yang mahu namanya dirahsiakan adalah dari Pasir Gudang, Johor.

“Tujuh minit sebelum bidaan ditutup semalam (tengah malam tadi), seorang ‘hamba Allah’ telah membeli dengan harga RM135,000. Itulah yang muktamad dan terakhir.

“Saya sejujurnya terkejut kerana yang membeli (jam tangan), saya mengenalinya tanpa saya ketahui dia sanggup membida dan dia mahukan saya rahsiakan namanya,” katanya pada satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Zulkifli berkata, individu itu memberi tiga sebab mengapa sanggup membida jam tangan itu dengan harga sedemikian iaitu pertama, kerana ia dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, kedua, kerana beliau pernah memilikinya semasa menjadi Mufti Wilayah Persekutuan dan ketiga , kerana demi Palestin, maka dia bertekad walau setinggi mana bidaan, dia sanggup mendapatkannya.

“Selepas kami bercakap dengan linangan air mata, sebak yang amat sangat, tujuannya itu saya lihat penuh dengan keikhlasan dan dia telah menyerahkan kepada saya duit sebanyak itu (RM135,000).

“Alhamdulillah, kita akan bawa kesemuanya (wang hasil bidaan), lebih kurang RM100,000 kepada Muslim Care di Jordan yang kami telah buat temu janji untuk penyerahan langsung kepada rakyat Palestin,” katanya.

Baki RM35,000 akan dibahagikan dan diserahkan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia iaitu Mercy Malaysia, Aqsa Syarif (MyCare), Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aman Palestin, Pas Relief, MAPIM dan MyFundAction.

“Tekad saya, tidak akan ambil walau satu sen. Ini adalah amanah dan ini adalah tujuan kami apabila kami buka bidaan.

“Semoga ia memberi manfaat kepada semua yang memberi dan menderma kepada saya, semuanya akan mendapat pahala pada hari akhirat kelak, insya-Allah,” katanya.

Beliau menjelaskan beliau akan ke Abu Dhabi, hari ini untuk satu mesyuarat bersama Syeikhul Azhar dan akan singgah ke Jordan yang terletak berhampiran untuk menyerahkan wang terbabit kepada Muslim Care Malaysia.

Katanya, semua RM135,000 hasil bidaan itu akan disedekahkan kepada rakyat Palestin khususnya mereka yang memerlukan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong usaha seperti ini dan menunjukkan solidariti yang luar biasa, serta pemimpin yang dilihat amat bertegas dalam isu Palestin dan cuba memberi bantuan seupaya mungkin.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak media tidak kira rangkaian televisyen dan akhbar, serta media sosial serta netizen yang cukup banyak memberi ulasan yang baik atas usaha ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment