Ibarat beri peluru kepada lawan

KUALA LUMPUR 27 Jun – Tindak tanduk Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan beberapa isu berkaitan kepemimpinan UMNO hanya mengundang pepecahan dalam parti yang disifatkan sudah berada di landasan tepat dalam mewujudkan kesepakatan antara kepemimpinan parti bagi menuju pilihan raya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu juga hanya akan menjadi peluru buat pihak lawan bagi menyerang UMNO.

Katanya, melalui kepemimpinan Dr Ahmad Zahid sebagai presiden dan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, UMNO sepatutnya berada di ambang kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan ia tidak seharusnya digugat dengan dakwaan seperti itu.

“Parti ini parti yang sepatutnya di ambang kemenangan…takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan…pilih kesepakatan, pilih kestabilan.

Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan ini adalah pihak lawan…segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang UMNO.

“Naratif lawan akan jadi mudah, bagaimana UMNO hendak jual kestabilan kalau dalam UMNO sendiri tak berpadu?” katanya dalam kenyataan, di sini.

Shahril berkata, hak institusi pelantikan presiden UMNO itu perlu dihormati kerana Ahmad Zahid menang secara bertanding.

Beliau berkata, pihaknya menyangkal dakwaan bahawa presiden lemah dan menjadi liabiliti kepada parti, sedangkan UMNO mencapai kejayaan memenangi tujuh pilihan raya di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid.

“Satu hari ada juga pihak kata perdana menteri lemah…sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.

“PAU (Perhimpunan Agung UMNO), PAU Khas, Konvensyen BN (Barisan Nasional) sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihan raya.

“Parti sudah buat keputusan bahawa presiden dan timbalan jaga parti, perdana menteri jaga kerajaan…bergerak seiring.

“Pemilihan selepas PRU…tarikh PRU ‘top 5’ bincang, bawa ke MKT, kemudian ‘on’ (jadi). Tak perlu gaduh, atau syak wasangka. Kalau boleh berpegang kepada semua ini, ahli tenang, UMNO menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment