Tajuddin boleh sertai Pas – Takiyuddin

KAMPAR 27 Jun – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin Abdul Rahman boleh menyertai parti Pas bagi meneruskan kelangsungan karier politiknya, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, sesiapa sahaja boleh menyertai Pas dan parti itu akan menerimanya.

“Siapa nak sertai Pas pun boleh kita terima dan untuk makluman pada kelmarin, kita telah mengadakan kempen keahlian baharu Pas di Kedah (dan) pada hari Sabtu baru-baru ini kita menerima ahli baharu, dalam tempoh seminggu lebih sikit 12,000 orang.

“(Kesemua) 12,000 orang ahli baharu itu telah kita terima. Jadi siapa pun boleh menyertai Pas. Itu kita anggap satu penerimaan masyarakat termasuklah pengundi-pengundi baharu,” kata Takiyuddin ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini.

Pada Sabtu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mempelawa Tajuddin yang digugurkan sebagai ahli MKT UMNO untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili parti itu sekiranya beliau tidak diberikan tempat oleh Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Razman berkata, pelawaan tersebut dibuat bukan bermaksud mahu mencampuri urusan parti-parti lain, sebaliknya, mengambil kira situasi semasa yang mahu agar PRU15 diadakan segera.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas,  Idris Ahmad berkata, tindakan Pas Perak mempelawa Ahli Parlimen Pasir Salak, tidak pernah dibincangkan.

Katanya, perkara itu di luar pengetahuan beliau dan memaklumkan pembahagian kerusi mahupun calon perlu mendapat persetujuan Pas Pusat.

“Perbincangan mengenai perkara itu antara Pas Perak dengan Pas Pusat belum dibuat, tak ada… kita tak bincang lagi,” katanya selepas hadir program Multaqa Murabbi Ummah dirasmikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon semalam.

Related posts

Leave a Comment