153 kes baharu, satu kematian

PUTRAJAYA 21 Mac – Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia di Malaysia sehingga kini empat orang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang meninggal dunia itu melibatkan kes ke-238, yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun, daripada kluster jemaah tabligh.
“Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection dan diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi, dan ketika dalam penjagaan di ICU.
“Kesihatan beliau merosot hari demi hari sejak kemasukan dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac, 1:30 pagi,” katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.
Semalam, Dr Noor Hisham dalam catatan Facebook rasmi beliau, mengesahkan kematian ketiga akibat wabak Covid-19, apabila seorang lelaki tempatan iaitu kes ke-152 daripada kluster jemaah tabligh meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah. 
Selasa lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan dua kematian pertama akibat wabak itu di negara ini, melibatkan kes ke-178 dan ke-358, masing-masing di Johor dan Sarawak.
Kedua-dua kematian yang melibatkan rakyat tempatan, masing-masing seorang jemaah tabligh berumur 34 tahun yang menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan, manakala seorang paderi berusia 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik.
Sementara itu, setakat 12 tengah hari, terdapat 153 kes baharu positif COVID-19 yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes.
Daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment