Singapura lapor 6,606 kes baharu

SINGAPURA 23 Jun – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 6,606 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini yang melibatkan 5,954 jangkitan tempatan dan 652 ‬‬kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,390,558 sejak pandemik mula melanda.

Tiga lagi individu meninggal dunia akibat Covid-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan kematian 1,408 orang.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 6,071 adalah kes Protokol 2 iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Ini terdiri daripada 5,457 kes tempatan dan 614 kes import manakala 535 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 497 adalah jangkitan tempatan, manakala 38 adalah kes import.

Sementara itu, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.38, naik sedikit berbanding 1.3 semalam. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin meningkat.

Setakat ini 341 pesakit masih dirawat di hospital, naik sedikit berbanding 322 semalam di mana 28 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan lapan dipantau

rapi di ICU. Seramai 3,299 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin di bawah program vaksinasi nasional.

Sebanyak 93 peratus menerima satu dos, 92 peratus lengkap dua dos dan 78 peratus sudah disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment