10,681 tidak duduki SPM 2021

PUTRAJAYA 16 Jun – Lembaga Peperiksaan (LP) memaklumkan sebanyak 10,681 calon tidak menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021.

Dalam satu kenyataan, LP berkata jumlah itu merangkumi 9,037 calon atau 2.30 peratus terdiri daripada mereka yang mendaftar di sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah negeri, sekolah swasta dan sekolah menengah agama rakyat.

“Selain itu sebanyak 1,644 calon atau 0.42 peratus adalah calon persendirian. LP berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar berkenaan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid memaklumkan seramai 407,097 calon mendaftar dan daripada jumlah itu sebanyak 382,156 menduduki peperiksaan.

Daripada jumlah yang dinyatakan itu, seramai 388,600 calon mendaftar di sekolah termasuk sekolah kerajaan, swasta dan sekolah agama manakala selebihnya iaitu 18,497 calon ialah persendirian.

Mengulas lanjut mengenai SPM 2021, LP berkata bagi tujuan analisis hanya 392,837 calon berdaftar yang diambil kira.

“Calon ini adalah mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 382,156 orang atau 97.28 peratus adalah calon sekolah serta calon persendirian yang hadir menduduki peperiksaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment