Post mortem punca tidak duduki SPM

PUTRAJAYA 16 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti punca 24,941 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tidak menduduki peperiksaan berkenaan.

Menterinya,  Dr Mohd Radzi Jidin, berkata sebahagian besar daripada mereka adalah calon persendirian.

“Jika calon sekolah, guru dan pengetua sudah ke rumah pelajar berkenaan untuk mereka kembali ke sekolah, namun ada antara mereka tidak mahu meneruskan sesi persekolahan dan peperiksaan. Itu antara perkara yang kita sudah usahakan sejak awal.

“Macam-macam alasan diberi. Ada sebab peribadi, masalah keluarga dan bekerja dan itu penyebab mereka tidak mahu menduduki SPM 2021.

Bagaimanapun, sebahagian mereka adalah calon persendirian,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) di sini, hari ini.

Mengulas perjalanan SPM 2021, Radzi berkata, KPM berpuas hati dengan keputusan calon yang juga kohort pertama bagi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Walaupun ramai kata tidak perlu teruskan peperiksaan ini, namun ketika itu kita yakin dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta usaha yang sudah dilakukan.

“Ini berbeza dengan pelajar SPM 2020 yang sempat belajar sepenuhnya di Tingkatan Empat sebelum Covid-19 melanda.

“Pelajar SPM 2021 antara yang terjejas ketika di Tingkatan Empat dan Lima. Ini bukan sahaja cabaran kepada murid, tetapi juga kepada ibu bapa serta guru bagi memastikan SPM berjalan dengan sebaiknya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment