Visi Pas sentiasa dihimpit musuh

KOTA BHARU 10 Ogos – Visi Pas untuk membela nasib orang Melayu dan mempertahankan Islam sentiasa dihimpit dan terhakis oleh musuh, kata Pengerusi PN Kelantan, Ahmad Yakob.

Beliau berkata, matlamat itu yang juga ingin dijalankan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) juga gagal disempurnakan.

“Sayang sekali apabila MN tak dapat kita sempurnakan kerana jajaran baharu yang dibentuk Presiden UMNO (Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim).

“(Ia) seolah-olah suatu perancangan yang rapi supaya kesedaran kebangkitan umat Islam ini dinafikan dalam saat penting, sebab itu kita lihat lahirnya orang yang memahami keadaan ini, berjuang terus, sehingga takdir kedua dan kita katakan mungkin tiada takdir kali ketiga,” katanya.

Pas menganggap gabungannya bersama Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) adalah takdir kedua selepas MN gagal di tengah jalan.

“Kita dengan Bersatu , Pas dan Gerakan membentuk PN kerana kita mahu parti Melayu Islam ini bersama-sama membela kedudukan terakhir yang dihimpit oleh suasana politik sekular ini menyebabkan kita (PAS) wajib bersama dalam PN,” katanya dalam ceramah Grand Final Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dataran Bahtera Tok Bali, Pasir Puteh, malam tadi.

Mengambil iktibar daripada sahsiah Rasulullah SAW yang mempersaudarakan umat Islam dalam usaha menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas turut menjadikan sikap pemaaf baginda sebagai pedoman dalam menyertai gabungan PN bagi menjadikan negara Islam terus kukuh.

Menyifatkan gabungan PN adalah landasan terbaik, katanya, Pas sanggup memaafkan musuh yang kini menjadi sahabat dalam parti gabungan demi kemakmuran rakyat.

“Saat ini kita sanggup memberi kemaafan kepada sahabat kita walaupun bertentangan dari segi ideologi parti, tetapi untuk kepentingan ummah, kita sanggup bermaaf-maafan.

“Ini perkara yang kita buat hari ini termasuk adanya PN ini sebagai satu landasan terbaik politik yang kita anjurkan untuk keselamatan dari segi ekonomi, sosial, keadilan dan sebagainya,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu juga menganggap kejayaan gabungan itu adalah titik mula untuk masa hadapan politik negara yang lebih baik dan dapat dicapai sekiranya gabungan terbabit dapat difahami serta dihayati semua rakyat.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha oleh parti musuh dilakukan untuk mengelirukan rakyat, ia sama sekali tidak akan mengubah keputusan pengundi untuk menjalankan tanggungjawab pada 12 Ogos nanti.

“Kita doakan sahabat kita (Bersatu dan Gerakan) tenang serta bersama kita, Insya-Allah kita akan melihat perkara ini menjadi titik mula untuk masa depan politik negara lebih baik sekiranya dapat difahami dan dihayati semua rakyat terutama di Kelantan.

“Walaupun usaha dan cara yang dibuat parti musuh untuk mengelirukan pengundi di Kelantan, tetapi kita faham usaha retorik itu tidak mengubah sikap pengundi yang akan balik mengundi Pas nanti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment