UPM 123 terbaik di dunia

SERDANG 9 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih kedudukan 123 terbaik dunia dan universiti kedua terbaik dalam negara melalui penarafan QS World University Rankings 2023 apabila berjaya melonjakan sebanyak 20 anak tangga.

Kedudukan cemerlang ini sekali gus merekodkan pencapaian terbaik UPM dalam sejarah penarafan antarabangsa.

Merujuk kepada pencapaian UPM dalam QS World University Rankings 2023, empat indikator penilaian menunjukkan peningkatan ranking iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Nisbah Staf Akademik dengan Pelajar dan Peratus Pelajar Antarabangsa dengan indikator pelajar antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tempat ke-99 di dunia.

Naib Canselor UPM, Prof  Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata walaupun UPM berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kesan daripada pandemik Covid-19, dedikasi dan sokongan penuh dari pelbagai peringkat staf yang digembleng membolehkan UPM terus merekodkan kejayaan dalam segala aspek terutamanya penyelidikan serta reputasi antarabangsa.

“Pencapaian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan lagi kebitaraan UPM yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan bermakna kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Mohd Roslan berkata walaupun terus mencatat peningkatan, sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UPM percaya ada banyak lagi ruang penambahbaikan agar kecemerlangan ini dapat terus dipertingkatkan.

“Antara inisiatif yang akan diteruskan ialah, memberi perhatian kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama khususnya bidang pertanian dan sekuriti makanan di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat lokal dan juga global,” katanya.

Pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan dan kualiti akademik di UPM ini berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di UPM dan setanding dengan universiti terkemuka antarabangsa.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment