Brunei tutup sempadan hingga 15 Jun

KUCHING 8 Jun – Brunei meneruskan penangguhan aktiviti merentas sempadan negara itu terhadap warga asing sehingga 15 Jun ini meliputi mereka yang masuk melalui pelabuhan darat dan laut, termasuk transit melalui Brunei.

Jabatan Perdana Menteri Brunei dalam kenyataan yang diedarkan kepada media Sarawak, hari ini menjelaskan, larangan itu dikecualikan bagi perjalanan masuk dan transit yang diluluskan oleh Kerajaan Brunei.

“Kemasukan dan perjalanan transit melalui Brunei hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan yang mempunyai Permit Lintas Batas dan Penyata Kenderaan Transit yang dikeluarkan oleh Kerajaan Brunei dengan jaminan atau sokongan pihak berkuasa negara Brunei,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, syarat kemasukan yang ditetapkan ialah urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan kecemasan seperti ambulans, polis dan tentera.

Turut menjadi syarat kemasukan ialah pengendali pengangkutan yang berdaftar di luar negara sudah divaksin dan memiliki Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Brunei untuk penghantaran barangan keperluan penting.

Berikutan penangguhan aktiviti rentas sempadan itu, rakyat Malaysia yang tinggal di Limbang masih menghadapi kesulitan untuk keluar ke daerah lain di Sarawak atau Sabah kerana kedudukannya yang diapit negara Brunei.

Related posts

Leave a Comment