Konsep Madani asas penting keadilan

AYER KEROH 24 Ogos – Prinsip diketengahkan dalam konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan secara baik dalam pembangunan ekonomi dan sahsiah di negeri ini, kata Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Katanya, konsep Malaysia Madani menjadi asas penting dalam memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa sebarang diskriminasi atau penindasan.

Menurut Mohd Ali, Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

“Malaysia Madani menjadi asas penting dalam konteks pembangunan dan peradaban negara yang menyentuh aspek keseimbangan serta kemampanan.

Besar harapan saya agar prinsip-prinsip tersebut dapat diterjemahkan dengan baik dalam pembangunan ekonomi dan sahsiah Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh mendahului senarai 1,042 penerima dengan beliau dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain pula dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mohd Ali berkata gagasan Malaysia Madani adalah untuk melahirkan Malaysia yang maju dan tinggi tamadunnya.

Katanya, setiap dasar dan program dirancang kerajaan negeri harus mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat dalam memastikan kualiti hidup berada dalam keadaan lebih baik.

“Hal itu perlu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan Negeri Melaka melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

“Saya juga berharap semua jabatan dan agensi yang terlibat mengenal pasti sumber pembiayaan bagi melaksanakan projek atau program tersebut selain ianya mestilah dipantau secara telus untuk memastikan perancangan pembangunan berjalan lancar,” katanya.

Mohd Ali turut berharap agar kebajikan golongan miskin tegar menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan Melaka meskipun tiada solusi tunggal yang dapat sepenuhnya mengatasi hal itu.

Terdahulu, Mohd Ali dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman hadir Istiadat Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama sempena sambutan itu di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh.

Related posts

Leave a Comment