Brunei Darussalam catat peningkatan kes

BERAKAS 8 Jun  – Brunei Darussalam merekodkan peningkatan kes harian  Covid-19 hari ini dengan mencatatkan 399 kes berbanding 380 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 151,560.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 394 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala lima kes lagi hasil daripada 269 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes bagi kategori 5 dan tiga kes direkodkan bagi Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Beliau memberitahu , sebanyak 226 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 148,610 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,726 iaitu 12 sedang dirawat di hospital, manakala 2,714 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 101 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada 82.8 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 893 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 60.9 peratus menerima dua dos manakala 71.3 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment