Lebih 500,000 kunjungi PBAKL

KUALA LUMPUR 7 Jun – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sudah mencatatkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung, dalam tempoh empat hari, melebihi 50 peratus daripada sasaran asal penganjur.

Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata sejumlah 556,185 pengunjung direkodkan mengunjungi PBAKL sejak hari pertama Jumaat lalu hingga semalam.

Mohd Khair turut gembira selepas dimaklumkan jumlah jualan direkodkan hampir semua pempamer amat memberangsangkan dan melebihi sasaran masing-masing.

MBKM menyasarkan sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung dalam tempoh 12 hari PBAKL berlangsung.

Menurut laporan BH, Mohd Khair mengakui, sambutan luar biasa itu antara lain kerana ‘dendam rindu’ orang ramai untuk menghadiri PBAKL, selepas pesta buku terbesar di Malaysia itu tidak dianjurkan secara fizikal selama dua tahun.

Selain itu, katanya, faktor utama disebabkan promosi secara besar-besaran yang dilaksanakan jawatankuasa penganjur dan pempamer, termasuk menggunakan pempengaruh, selebriti dan individu terkenal.

Mengulas tarikan terkini di PBAKL, Mohd Khair berkata, pihaknya melancarkan ‘Peti Gergasi Sumbangan Buku’ hari ini, yang ditempatkan berhampiran pentas utama di tingkat bawah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menerusi peti gergasi itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menyumbang buku, sama ada terpakai atau baharu, boleh berbuat demikian dengan memasukkan buku berkenaan ke dalam peti disediakan.

“Inisiatif ini dilaksanakan selepas kita menerima satu cadangan daripada penyokong pesta buku, supaya sesiapa saja boleh menyumbang. Mereka boleh membawa apa juga jenis buku dan masukkan ke dalam peti ini.

“Buku yang kita terima akan disumbangkan kepada mana-mana perpustakaan desa atau sekolah terpilih yang memerlukannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment