Brunei Darussalam catat peningkatan kes

BERAKAS 7 Jun  – Brunei Darussalam merekodkan peningkatan satu kes harian  Covid-19 hari ini dengan mencatatkan 380 kes berbanding 379 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 151,161.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 377 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala tiga kes lagi hasil daripada 361 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes bagi kategori 5 dan dua kes direkodkan bagi Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Beliau memberitahu , sebanyak 99 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 148,384 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,554 iaitu lapan sedang dirawat di hospital, manakala 2,546 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 111 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada 82.6 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,063 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 58.8 peratus menerima dua dos manakala 771.2  peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment