Indonesia kutuk pihak hina nabi

JAKARTA 7 Jun – Indonesia mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya  kenyataan kontroversi dua ahli politik India baru-baru ini yang didakwa telah menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam ciapan Kementerian Hal Ehwal Luar di akaun Twitter rasminya, Indonesia turut memanggil Duta India di Jakarta dan menyerahkan surat bantahan berhubung perkara itu.

Indonesia bersama-sama Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik parti pemerintah India baru-baru ini yang didakwa menghina Islam.

Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

“BJP mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana personaliti mana-mana agama,” menurut kenyataan parti itu.

Kenyataan yang disifatkan menghina Islam itu mencetuskan protes dan rusuhan di bandar utara dan kemudian di Mumbai dengan 38 tangkapan setakat ini.

Pada hujung minggu, diplomat India yang ditempatkan di teluk dan negara-negara jiran Islam dipanggil oleh pegawai di negara tersebut untuk membantah komen oleh pegawai BJP.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dalam satu kenyataan, berkata, penghinaan ini datang dalam konteks peningkatan intensiti kebencian dan penghinaan terhadap Islam di India dan gangguan sistematik terhadap umat Islam.

Badan 57 ahli yang berpengaruh itu memetik keputusan untuk mengharamkan hijab di institusi pendidikan di beberapa negeri India dan pemusnahan harta benda orang Islam untuk menyerlahkan apa yang dikatakan sebagai tindakan berat sebelah kerajaan India.

Kementerian Luar India dalam satu kenyataan berkata Tweet dan komen yang menyinggung perasaan itu tidak menggambarkan pandangan kerajaan.

Umat Islam membentuk kira-kira 13 peratus daripada 1.35 bilion penduduk India.

Related posts

Leave a Comment