Boris Johnson selamat, dapat 211 sokongan

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson terselamat daripada undi tidak percaya selepas pengundian di Parlimen menunjukkan 211 daripada 359 anggota Parlimen  menyokong untuk beliau terus mengemudi kerajaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa 1922, Sir Graham Brady, sebanyak 148 Ahli Parlimen membantah.

“Saya boleh laporkan bahawa 359 undian dikira. Tiada undi rosak. Sejumlah 211 undi menyokong dan memberi kepercayaan kepada Boris Johnson sebagai pemimpin sementara 148 undian menentang.

Saya dengan ini mengumumkan parti yang menguasai Parlimen masih mempunyai keyakinan terhadap beliau,” katanya.

Sebanyak 59 peratus undian diperoleh Johnson adalah kurang berbanding 63 yang diterima Perdana Menteri terdahulu, Theresa May pada pusingan undian tidak percaya yang diadakan pada Disember 2018.

May kemudian digantikan tujuh bulan kemudian.

Johnson berdepan isu integriti, susulan penglibatannya dalam skandal.

Ini berkaitan pendedahan beliau dan kakitangannya mengadakan parti ketika perintah sekatan Covid-19 dikuatkuasakan.

Ia turut menyebabkan sokongan daripada kalangan pemimpin Konservatif semakin berkurangan.

Dengan ketiadaan calon berpotensi untuk menggantikannya, pemerhati politik meramalkan Johnson selamat daripada undian tidak percaya kali ini.

Namun, pemberontakan terhadap Johnson memberi bayangan perpecahan berlaku dalam kalangan pemimpin Konservatif.

Johnson sebelum ini berjaya mengetuai parti itu untuk catat kemenangan terbesar pilihan raya dalam beberapa dekad.

Dalam pada itu Boris Johnson dalam reaksinya melalui Facebooknya menyifatkan keputusan undi tidak percaya yang memihak kepada beliau sebagai satu keputusan baik untuk negara.

“Saya memperoleh mandat yang lebih besar daripada rakan, sebagai contoh sama seperti yang diperoleh pada 2019.

“Saya berterima kasih kepada sokongan yang diberikan mereka. Dan sudah tentu, saya faham kita perlu bersatu sebagai kerajaan dan parti. Inilah yang boleh dilakukan ketika ini.

“Ia juga memberi peluang kepada kita meletakkan segala perkara dibelakang kita dan laksanakan tugas kita, untuk fokus kepada perkara yang rakyat mahukan.

“Ini termasuk membantu rakyat dan negara ini dan membawa negara ini semula ke hadapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment