Kemasukan ke hospital meningkat 11 peratus

PUTRAJAYA 6 Jun – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital termasuk hospital swasta dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam pada 29 Mei hingga 4 Jun (Minggu Epidemiologi 22/2022) meningkat 11 peratus bagi setiap 100,000 penduduk di negara ini.

Bagaimanapun, tiada perubahan kepada jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk semua kategori 1 hingga 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 turut menunjukkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.

“Penggunaan katil bukan kritikal menurun 8 peratus; penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 14 peratus dan peratusan penggunaan katil PKRC tiada perubahan.

“Bagi jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan ia mencatatkan penurunan 17 peratus,” katanya .

Secara umumnya kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan berbanding ME 21/2022.

Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 11.6 peratus, jumlah kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 17.8 peratus dan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 2.5 peratus.

Bagi trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 22/2022 ianya menurun sebanyak 9.4 peratus berbanding pada akhir ME 21/2022 iaitu daripada 22,475 kes kepada 20,363 kes.

Bagi perbandingan antara ME 21/2022 dengan ME 22/2022, Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME 22/2022 menurun sebanyak 13.4 peratus iaitu daripada 13,797 kes kepada 5,925 kes.

Bilangan kes baharu pada ME 22/2022 menurun sebanyak 15.5 peratus (13,076 kes kepada 11,052 kes), bilangan kes tempatan menurun sebanyak 15.4 peratus (13,022 kes kepada 11,022 kes) dan bilangan kes import menurun sebanyak 45.5 peratus (55 kes kepada 30 kes).

Untuk bilangan kes kematian pada ME 22/2022 ia menunjukkan peningkatan kepada 36.8 peratus (19 kes kepada 26 kes) berbanding ME 21/2022; dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 22/2022 adalah 23,290, iaitu terdapat penurunan sebanyak 8.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment