Beras: Rundingan G2G dengan India

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan India bagi menyatakan hasrat memastikan negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia.

Menteri berkenaan, Mohamad Sabu berkata, pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India itu nanti adalah sebagai langkah memastikan bekalan beras putih terus mencukupi buat rakyat negara ini.

Katanya, langkah itu juga berikutan kebimbangan apabila kerajaan India menyekat pengeksportan beras putih secara mengejut yang bakal membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia.

“Kita sekarang sedang berhubung bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk pergi ke sana supaya kita boleh berbincang secara G2G.

Jika mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras basmathi ada, boleh import banyak, tetapi beras basmathi ini mahal.

“Dengan G2G ini, dapatlah kita minta mereka meneruskan untuk eksport beras putih ke Malaysia, itu harapan kita,” katanya selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.

Mohamad Sabu berkata, pihaknya berharap mendapat maklum balas segera bagi membolehkan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India itu dilakukan secepat mungkin, sebelum hujung tahun ini.

Beliau pada masa yang sama berkata, isu bekalan beras putih kini menjadi masalah dunia, namun walaupun Malaysia terkesan dengan isu itu, bekalan beras di negara ini masih mencukupi.

“Bekalan beras putih kita masih mencukupi, cuma jika harga beras yang diimport itu tinggi, menyebabkan orang mencari beras tempatan secara mendadak dan berlakunya sedikit kekurangan di beberapa tempat.

“Tetapi, kita atasi masalah itu, sekarang ini kita lakukan tuaian di Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), saya tidak ingat berapa jumlah kampit beras yang akan dikeluarkan, tetapi dalam masa tidak sampai sebulan ini, ia akan berada di pasaran dan sekarang pun kita ada cuba untuk ‘top-up’ mana-mana yang berlaku kekurangan.

“Selain India, kita boleh dapatkan bekalan beras putih ini dari Pakistan, Vietnam atau Thailand,” katanya.

Bagaimanapun semua negara mengalami kenaikan harga dan lebih parah sekarang ini isu kekurangan beras menjadi masalah dunia termasuk Malaysia tetapi ia tidak seteruk berbanding negara lain.

Related posts

Leave a Comment