PM, Presiden berbasikal buluh

JAKARTA 6 Jun – Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Presiden Indonesia Joko Widodo menunggang basikal buluh bersama hari ini ketika mengadakan rundingan untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara.

Selepas perbarisan kawalan kehormat, Jokowi menghadiahkan sebuah basikal kepada Albanese di istana presiden di Bogor yang terletak dekat bandar di selatan ibu kota Jakarta.

“Sepeda yang kami gunakan ini sepeda bambu hasil karya Singgih S. Kartono dari Temanggung, Jawa Tengah yang memang dirancang untuk digunakan di jalan raya,” kata Jokowi melalui Facebooknya.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya menanggalkan jaket mereka, memakai topi keledar dan menunggang di sekitar kawasan itu.

Anthony Albanese memuji hubungan dengan Indonesia dan berikrar untuk memperkukuh ikatan itu dalam lawatan dua hala pertamanya sejak menang dalam pilihan raya persekutuan Australia 2022 bulan lalu.

Beliau memilih negara yang juga penyumbang terbesar ekonomi di Asia Tenggara itu sebagai destinasi awal bagi rangka lawatan sebagaimana tradisi diamalkan Perdana Menteri Australia baharu sebelum ini.

Hubungan Australia dengan Indonesia adalah antara perkara yang paling penting bagi kami. Kami dikaitkan bukan hanya oleh geografi, tetapi turut terjalin atas pilihan.

“Hubungan kami sentiasa dieratkan oleh kepentingan strategik dan ekonomi yang kami kongsi,” kata Albanese dalam sidang akhbar bersama yang diadakan selepas sesi perbincangan.

Jokowi berkata, hubungan baik antara kedua-duanya akan menyumbang kepada ‘keamanan dan kemakmuran rantau ini’.

Albanese turut mengesahkan beliau akan menghadiri sidang kemuncak G20 pada November depan dengan Indonesia sebagai tuan rumah, walaupun Perdana Menteri Australia sebelumnya, Scott Morrison menyuarakan keraguan mengenai rundingan itu yang akan turut disertai Presiden Russia, Vladimir Putin susulan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Indonesia memihak kepada kedudukan tidak bersekutu dalam persaingan Pasifik antara Beijing dan kuasa Barat.

Indonesia adalah salah satu daripada beberapa negara Asia yang menyatakan kebimbangan mengenai pakatan keselamatan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Dalam rangka kerja Albanese di Indonesia selama tiga hari itu, beliau turut diiringi delegasi perniagaan dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Penny Wong yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Retno Marsudi, semalam.

Related posts

Leave a Comment