Hati-hati semasa kenduri haji

JOHOR BAHRU 5 Jun – Tidak salah kenduri doa selamat menunaikan haji tetapi perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri bakal jemaah dijangkiti virus Covid-19.

Bakal jemaah juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Itu ingatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama,  Idris Ahmad, bagi mengelakkan jadual penerbangan yang diatur untuk mereka terjejas.

Beliau difahamkan ada bakal jemaah haji kumpulan pertama, positif Covid-19 sebelum berlepas pertama ke Makkah semalam, terkena jangkitan wabak itu daripada kenduri yang dianjurkan.

“Saya dimaklumkan bakal jemaah haji yang positif Covid-19 semalam mendapat virus itu daripada kenduri

Hendak anjurkan kenduri tidak salah, tetapi kena berjaga-jaga, takut menjejaskan jadual penerbangan kita,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memanah Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan kali ke 3 di Arena Emas, Taman Impian Emas, Skudai di sini, hari ini.

Idris berkata, urusan bagi bakal jemaah haji yang dijangkiti Covid-19 akan dikendalikan sepenuhnya oleh Tabung Haji (TH).

Katanya, jemaah haji yang positif Covid-19 juga masih berpeluang untuk mengerjakan haji musim ini berikutan penerbangan terakhir adalah pada Julai.

“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) sama ada awal 2 atau 3 Julai nanti. Selepas mereka habis kuarantin, sekiranya mereka sihat insya-Allah boleh terbang (ikut kumpulan lain).

“Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH boleh uruskan,”katanya.

Sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.

Related posts

Leave a Comment