Menghadap Agong 13 Okt.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mendakwa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, 13 Oktober.

Dalam satu kenyataan media, Anwar menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong itu.

“Pada majlis menghadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Pada 23 September lepas, Anwar memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa (22 Sept) jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Beberapa jam selepas pengumuman Anwar itu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima maklumat terdapat ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, UMNO dan BN bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN) sebaliknya sokongan kepada kerajaan PN hanyalah sokongan daripada ahli-ahli parlimen parti itu.

Namun, ahli-ahli parlimen UMNO yang dikaitkan memberi sokongan kepada Anwar menafikan perkara tersebut.

Related posts

Leave a Comment