MoU : Teliti Perkara 2.1 dan 3.1

KUALA LUMPUR 4 Jun – Semua pihak diminta meneliti Perkara 2.1 dan 3.1 dalam dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan mengenai tarikh tamat MoU itu yang ditandatangani pada 13 September 2021.

“Bagi yang suka menulis, tetapi malas membaca, menyelidik atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya hantar dokumen rasmi atau salinan MoU antara kerajaan dan PH.

“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut memuat naik beberapa salinan MoU yang ditandatangani sebagai penjelasan kepada kenyataan beliau baru-baru ini bahawa tiada tarikh tamat bagi MoU itu.

Perkara 2.1 menyebut ‘Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14’, manakala Perkara 3.1 memaklumkan ‘Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 hari bulan Julai 2022’.

Beliau  mengulas komen beberapa pemimpin UMNO yang mempertikaikan kenyataan beliau di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan Annuar memaklumkan tiada tarikh tamat tertentu berkaitan MoU itu mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada September lalu menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan mendukung semangat Keluarga Malaysia yang mempunyai enam agenda. –

Pada 17 April lalu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, juga menjelaskan isu pembubaran Parlimen serta tarikh luput MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH adalah dua perkara berbeza.

Katanya, ramai pihak tersalah erti dua perkara terbabit sehingga ada menyangka kononnya MoU itu berakhir pada 31 Julai ini.

“MoU antara kerajaan dan PH berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.. Dalam MoU ini dengan amat jelas bahawa kerajaan bersetuju tidak bubar Parlimen sebelum 31 Julai 2022,” katanya pada satu sidang media.

Katanya, berdasarkan MoU ditandatangani antara Perdana Menteri dan kalangan presiden dalam PH, memorandum persefahaman itu terpakai sehingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, ia bermaksud jika Parlimen dibubarkan pada 1 Ogos, maka MoU terbabit tamat pada tarikh berkenaan.

Tempoh Parlimen sebenar adalah sehingga 15 Julai 2023 kerana anggota Parlimen mengangkat sumpah pada 16 Julai 2018.

Related posts

Leave a Comment